BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Phishing diiktiraf ancaman siber utama dunia – Interpol

KUALA LUMPUR – Jenayah siber menunjukkan peningkatan ketara di rantau Asia dengan serangan pancingan data kewangan atau “phishing” dikenal pasti sebagai ancaman paling meluas di peringkat global.

Pengarah Direktorat Jenayah Siber Interpol, Dr Neal Jetton berkata, serangan phishing yang merupakan penyamaran komunikasi sah, termasuk berkaitan hubungan peribadi, tawaran perniagaan dan peluang kewangan, kini menjadi modus operandi utama penjenayah siber.

“Penipuan seperti ini tidak terbatas kepada Malaysia atau Asia Pasifik semata-mata – ia merupakan satu wabak global.

“Dalam banyak kes, penjenayah siber yang berpangkalan di satu benua menyasarkan mangsa di benua lain,” katanya pada sidang media Cyber Games 2025 di sini, hari ini.

Menurut Jetton, sekitar 75 hingga 80 peratus jenayah siber dilaporkan di seluruh dunia berpunca daripada faktor manusia, termasuk manipulasi melalui e-mel dan mesej palsu.

“Kami menganggarkan hampir 80 peratus daripada semua kes jenayah siber berpunca daripada manipulasi manusia sama ada menerusi e-mel, mesej atau platform yang sengaja dicipta untuk memperdaya pengguna menyerahkan maklumat sulit,” katanya.

Beliau mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam menangani jenayah siber dan memuji tahap kesiapsiagaan agensi penguat kuasa negara ini.

“Saya berpeluang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan boleh katakan mereka sangat komited, berdaya saing serta memahami landskap jenayah siber yang sentiasa berubah.

“Seperti negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Singapura, sememangnya masih ada keperluan sumber tambahan, namun Malaysia kekal sebagai antara negara peneraju di rantau ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jetton turut mengingatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), enkripsi dalam permainan video dan pelbagai alatan digital lain berpotensi disalah guna penjenayah siber.

“Generative AI boleh mempertingkatkan serangan phishing dan penyamaran digital. Ini menyukarkan agensi penguat kuasa untuk menyesuaikan diri dengan pantas. Justeru, kerjasama dengan sektor swasta dan akademik amat diperlukan,” katanya.

Bagi memperkukuh tindak balas global terhadap jenayah siber, Interpol kini memperkasakan semula Kumpulan Pakar Jenayah Siber (Cybercrime Expert Group) dengan penglibatan pakar dari 196 negara anggota, termasuk Malaysia.

“Kami telah menghantar jemputan kepada pakar-pakar jenayah siber di seluruh dunia untuk menyertai platform ini.

“Mesyuarat maya akan diadakan secara berkala dan satu sesi fizikal dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

“Inisiatif ini penting bagi memperkukuh perkongsian risikan, mempererat kerjasama rentas negara dan mempercepat respons terhadap ancaman jenayah siber yang kian berkembang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button