POLITIK

Rafizi gesa Anwar, PH jelaskan perincian tahanan rumah Najib kepada rakyat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjelaskan secara terperinci syarat tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, penjelasan itu penting supaya rakyat mengetahui syarat yang dikenakan dan sebarang pelanggaran nyata boleh diambil tindakan sewajarnya.

“Maka, adalah wajar Datuk Seri Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib, walaupun sekadar untuk menenangkan rakyat yang kecewa dengan keputusan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Najib terima pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 2028

Menurut beliau, berita mengenai pengampunan bersyarat dan pelepasan tahanan di rumah itu semestinya diterima dengan reaksi berbeza oleh pelbagai lapisan rakyat, termasuk ada yang marah, kecewa dan gembira.

Beliau berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan masing-masing selagi berada dalam batas undang-undang, selain menyeru supaya pandangan mengenai perkara itu disuarakan secara berpada-pada.

Pada masa sama, Rafizi berkata, Anwar dan pimpinan PH daripada PKR, DAP serta AMANAH bertanggungjawab memberikan penjelasan sebaiknya dan tidak mengulangi hujah bahawa perkara berkenaan berada di luar kawalan mereka.

“Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Datuk Seri Anwar dan PH ada kepada rakyat mengenai 1MDB, terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum,” katanya.

Rafizi mendakwa, Anwar mendapat laba besar daripada isu 1MDB, selain menyatakan beliau tidak ke depan memperhalusi skandal berkenaan berbanding ramai rakyat biasa lain, kecuali melalui ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis ucapan.

Menurutnya, ketika kemuncak pertembungan skandal 1MDB antara 2015 hingga 2018, Anwar berada di penjara, manakala tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat berkaitan isu itu digalas rakyat biasa dalam kalangan penjawat awam, media dan aktivis.

Rafizi berkata, skandal 1MDB turut meyakinkan sebahagian rakyat yang sebelum ini tidak pernah mengundi PH untuk memilih PH sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Justeru itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya Anwar perlu mengumumkan syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya rakyat boleh menjadi mata dan telinga masyarakat bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi syarat ditetapkan.

“Paling kurang, Datuk Seri Anwar perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci, supaya jika ada pelanggaran yang nyata; tindakan boleh diambil.

“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan,” katanya lagi.

Rafizi turut menyeru rakyat yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal berkenaan supaya menyedari bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat adalah usaha berterusan.

Beliau berkata, rakyat juga bertanggungjawab mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku serta kepentingan usaha berterusan membudayakan pentadbiran negara dengan integriti.

“Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka dari skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

“Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi yang lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button