Majlis Presiden PH bermesyuarat petang ini?
PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden bagi membincangkan perkembangan politik semasa, termasuk kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijadualkan berlangsung pukul 5.30 petang ini di Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Antara perkara yang dijangka dibincangkan ialah kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan, susulan kenyataan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, minggu lalu.
Dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid mencabar pihak yang mahu parti itu menamatkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan supaya sama ada membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), atau mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Isnin lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut dilaporkan mencadangkan supaya Anwar segera memanggil mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincangkan perkembangan politik semasa.
Anthony berkata, mesyuarat itu perlu diadakan sebaik sahaja Anwar pulang daripada lawatan rasmi ke luar negara bagi menilai perkembangan terkini serta beberapa kenyataan politik yang dibuat sejak kebelakangan ini, yang disifatkannya sebagai menjejaskan kepastian dan kestabilan politik negara.
Mesyuarat itu turut diadakan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya di bawah penahanan di rumah bersyarat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








