BERITA SEMASA

Calon PH Bukit Permai buat laporan polis, dakwa papan tanda kempen dikhianati

KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani mendakwa papan tanda kempen miliknya telah menjadi mangsa perbuatan khianat apabila dikoyakkan pada bahagian muka oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, kejadian itu disedari berlaku di persimpangan masuk Felda Taib Andak–Felda Inas semalam.

“Susulan insiden berkenaan, saya telah membuat laporan rasmi kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) serta laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 11.34 malam bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Papan tanda
Papan tanda calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani yang didakwa dikoyakkan.

Mohamad Shafwan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak matang dan bertentangan dengan semangat demokrasi yang sihat.

“Politik sepatutnya bersaing melalui idea, dasar dan tawaran kepada rakyat, bukannya dengan merosakkan bahan kempen pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan berharap tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang terhadap mana-mana calon yang bertanding.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa insiden tersebut tidak akan menjejaskan semangat beliau dan pasukan untuk meneruskan kempen secara berhemah serta mematuhi undang-undang pilihan raya.

Beliau turut mengajak pengundi agar membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatan, idea dan keikhlasan calon, bukannya dipengaruhi oleh tindakan sabotaj atau provokasi sepanjang tempoh berkempen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button