Majlis Presiden PH teliti ekonomi, reformasi institusi, PRN Sabah
KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat hari ini bagi meneliti isu berkaitan urus tadbir kerajaan, perkembangan ekonomi rakyat serta pelaksanaan manifesto dan reformasi institusi selepas tiga tahun menerajui pentadbiran negara.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membincangkan secara menyeluruh ikhtiar kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa, di samping memastikan agenda reformasi institusi dilaksanakan secara berperingkat dan berkesan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat turut meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan Majlis Presiden berpandangan beberapa aspek berkaitan reformasi institusi perlu diberikan keutamaan dan diperkukuhkan dalam masa terdekat.
“Majlis Presiden bersetuju bahawa usaha reformasi institusi perlu dilaksanakan dengan lebih tegas bagi memperkukuh sistem pentadbiran serta keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut memutuskan supaya satu Konvensyen Pakatan Harapan diadakan pada suku pertama tahun 2026.
Menurut Fahmi, konvensyen berkenaan akan menjadi platform penting untuk menetapkan fokus keutamaan agenda reformasi serta merangka hala tuju negara bagi tempoh dua tahun akan datang.
“Konvensyen ini diharap dapat memperkukuh kesepakatan kepimpinan serta memperjelas halatuju Pakatan Harapan dalam meneruskan agenda perubahan dan pembaharuan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








