Proses kemasukan semula KJ ke UMNO dijangka tidak ambil masa lama – Zambry
PUTRAJAYA – Proses kemasukan semula Khairy Jamaluddin ke dalam UMNO dijangka tidak berdepan halangan besar dan boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, perkara itu diyakini berikutan cadangan penubuhan konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi membuka ruang kepada bekas ahli dan pemimpin parti kembali semula.
“Tempoh masa untuk proses tersebut tidak dijangka menjadi isu,” kata Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Ilmuan Malaysia MADANI bertajuk Strategi bagi Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan Global bersama Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (UNSDSN), Jeffrey D. Sachs, di sini hari ini.
Terdahulu, Khairy memaklumkan beliau telah mengemukakan permohonan secara rasmi agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyerahkan surat rayuan berkenaan kepada Ahmad Zahid atas semangat konsep Rumah Bangsa yang diketengahkan presiden parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau yakin Ahmad Zahid akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat MKT untuk pertimbangan.
Katanya, UMNO juga telah melantik seorang Naib Presiden parti sebagai pengerusi teknikal bagi menguruskan proses berkenaan.
“Pertemuan paling penting semalam memberi indikasi positif apabila kedua-dua pihak, Presiden dan Khairy, dapat bertemu dalam suasana yang harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan langkah Khairy mengemukakan rayuan berkenaan wajar dialu-alukan kerana bekas pemimpin itu disifatkan masih mempunyai jiwa UMNO.
“Jiwanya itu jiwa UMNO. Sebab itu kita lihat baru-baru ini ketika Perhimpunan Agung UMNO diadakan, beliau turut berada bersama.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO yang membuka ruang melalui idea Rumah Bangsa bagi mengembalikan semula mereka yang pernah bersama parti. Ia satu idea besar daripada seorang pemimpin yang mempunyai jiwa besar,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu menunjukkan kepimpinan parti tidak lagi mahu terlalu terikat dengan peristiwa lalu yang boleh menyukarkan usaha untuk melangkah ke hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







