BERITA SEMASAPOLITIK

Ahmad Zahid bukan perosak UMNO – Nurulhidayah

MARANG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan individu yang merosakkan UMNO, sebaliknya beliau menjadi mangsa kerana terus mempertahankan parti itu walaupun berdepan pelbagai tekanan termasuk desakan agar ia dibubarkan.

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, tuduhan terhadap Presiden UMNO itu tidak berasas dan hanya timbul apabila beliau enggan tunduk kepada desakan, termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya membubarkan parti selepas Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Sebenarnya bukan UMNO yang rosak kerana Zahid, tetapi nama Ahmad Zahid yang rosak kerana pertahankan UMNO.

“Beliau tetap kekal mempertahankan parti meskipun diasak dari dalam dan luar,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Marang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian itu, Zaitun Mat Amin.

Nurulhidayah berkata, peranan Wanita UMNO tidak boleh dipandang ringan kerana mereka bukan hanya hadir melengkapkan perhimpunan parti, tetapi merupakan jentera penting yang sentiasa turun padang dan mendengar suara rakyat.

“Wanita UMNO adalah nadi perjuangan, mengetuk pintu rumah rakyat, mendengar keluhan dan menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan pemimpin,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang tidak seharusnya menjadi alasan untuk putus asa, sebaliknya dijadikan medan untuk menguji keikhlasan dan kekuatan dalam perjuangan.

“Wanita tidak hanya berjuang ketika senang tetapi lebih kuat ketika sedang diuji.

“Kita perlu lebih rendah diri, mendengar lebih banyak dan bekerja lebih keras kerana rakyat tetap memerlukan pembelaan, walaupun mereka berada di negeri pembangkang,” katanya lagi.

Mengulas cabaran politik semasa, Nurulhidayah mengakui zaman telah berubah dengan kemunculan media sosial dan kaedah kempen moden, namun mengingatkan bahawa sentuhan peribadi, suara dan doa masih menjadi kekuatan utama wanita UMNO.

“Teknologi tidak boleh menggantikan semangat perjuangan dan hubungan tulus dengan rakyat. Wanita UMNO mesti terus ke depan, bukan hanya mahu dikenang kerana sejarah semata-mata,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, UMNO masih relevan dan Wanita UMNO akan terus berdiri memperjuangkan suara rakyat, membawa dasar yang adil untuk wanita, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button