Penduduk kampung temui kepala warga emas dipercayai dibaham buaya
SIBU – Kepala seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika mandi di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas, ditemui penduduk kampung lewat malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan itu dibuat kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada Selasa lalu.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan pada jam 11.20 malam, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas diketuai Komander Operasi PBKI Awang Adani Damit bersama Komander Operasi Kanan PPgB Clarence D Primus Tiandun bergegas ke lokasi sejauh 22 kilometer.
“Pada jam 12.45 tengah malam, selepas pengesahan dibuat oleh ahli keluarga, objek yang ditemukan disahkan sebagai kepala mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 5.30 petang Selasa lalu, mangsa dikenali sebagai Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya. Ahli keluarga hanya menemui tuala dan selipar dipercayai miliknya di lokasi kejadian.
Penduduk kampung kemudian melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai namun gagal menemui mangsa sebelum mendapatkan bantuan pihak bomba.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








