Penemuan bom Perang Dunia, Pulau Sibuan dibuka semula esok
Kenyataan media oleh TLDM sebelum ini.SEMPORNA – Pulau Sibuan yang terletak di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran di sini, yang ditutup selepas penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua pada Selasa lalu akan dibuka semula kepada pelancong bermula esok.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat selepas bom berkenaan berjaya dimusnahkan oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Sabtu lalu.
“Bom lama yang dinamakan sebagai ‘unexploded ordnance’ (UXO) itu berjaya dimusnahkan pada pukul 3.10 petang, 11 Januari 2025, oleh pasukan penyelam ranjau TLDM.
“Pulau Sibuan akan dibuka semula pada 15 Januari 2025 selepas polis, pasukan keselamatan dan Taman-Taman Sabah (TTS) selesai membuat kerja pembersihan dan pengumpulan sisa-sisa bom,” katanya dalam kenyataan semalam.
Markas Wilayah Laut 2 TLDM kelmarin mengesahkan kejayaan pasukan penyelamnya meletupkan bom berukuran tiga kaki panjang yang dipercayai sejenis bom yang dilepaskan oleh pesawat udara.

Christina menjelaskan, penutupan sementara pulau itu diarahkan selepas Pengawal Pantai TTS yang bertugas di Pulau Sibuan menemui objek disyaki bom ketika memantau kawasan snorkeling di pantai pulau berkenaan.
“Penemuan itu dilaporkan kepada Pengurus Taman Marin Tun Sakaran sebelum laporan polis dibuat pada hari yang sama.
“Pegawai Pos Penempatan Pulau Sibuan dari 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut dimaklumkan mengenai insiden ini,” katanya.
Menurut Christina, langkah menutup sementara pulau itu diambil bagi memastikan keselamatan pelawat dan kakitangan TTS yang bertugas di lokasi berkenaan.
“Namun, aktiviti pelancongan di pulau lain seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













