BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hentikan isu perkauman, jangan sampai jejas pelancongan – King Sing

PUTRAJAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing mengingatkan semua pihak supaya menjaga sensitiviti isu perkauman, agama dan politik supaya tidak dikaitkan dengan sektor pelancongan.

Beliau berkata, kegagalan mengawal isu itu akan merencatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan usaha menarik pelancong asing khususnya dari China yang merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi.

Lebih teruk katanya, sentimen perkauman yang wujud boleh menyebabkan para pelancong ‘takut’ untuk berkunjung ke negara ini.

“Saya nak berikan nasihat kepada semua supaya bekerjasama (jaga isu perkauman). Kita cuba sedaya upaya tarik pelancong China dan China juga bantu promosikan negara kita di sana.

“Bukan sahaja negara kita, di Arab juga begitu, apabila saya ke sana saya lihat mereka pun giat mempromosikan pelancongan kepada China,” katanya memetik temu bual bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

Bagaimanapun kata King Sing, pelancong dari negara China pasti akan beralih ke negara lain sekiranya isu perkauman terus dimainkan.

“Sekarang di TikTok ada sesetengah pihak yang menghina dan minta pelancong China jangan datang ke Malaysia.

“Saya kata begini bukan sebab saya orang Cina tapi sebab saya mahu pelancong China datang ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kementeriannya sedang menyiasat mengenai aduan pelancong China yang meluahkan kekecewaan selepas melancong di negara ini.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button