Sepang lancar iKR’38, SSD dan Pusat Khidmat Baharu
SEPANG – Sebanyak 38 Inisiatif KASIH Rahmah (iKR’38), program pelancongan komuniti Singgah Sepang Dulu (SSD) serta Pusat Khidmat Rakyat Baharu Ahli Parlimen Sepang telah dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis penuh simbolik malam tadi.
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, pelancaran ketiga-tiga inisiatif tersebut adalah lambang komitmen untuk membawa khidmat, pembangunan dan pelancongan terus kepada akar umbi.
Katanya, iKR’38 merangkumi 38 program intervensi sosial dan ekonomi yang disusun rapi untuk manfaat penduduk Sepang, meliputi tujuh kategori utama antaranya I-Pendidikan, I-Kebajikan, I-Peduli Warga Emas dan OKU, serta I-Komuniti Sihat dan Sejahtera.
“Apa yang uniknya tentang iKR’38 ini ialah ia bukan projek satu hala dari atas ke bawah, tetapi digerakkan secara bersama oleh kerajaan, komuniti dan sektor korporat dalam satu sinergi.
“Kita mahu bina kekuatan bersama,” katanya dalam ucapan perasmian malam tadi.
Aiman menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sistem penyambung hayat untuk mereka yang memerlukan serta jentera penggerak potensi bagi mereka yang mahu membangun secara seimbang tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.
SSD pula diperkenalkan sebagai strategi pelancongan komuniti yang bertujuan menjenamakan Sepang bukan sekadar sebagai destinasi transit tetapi destinasi pelancongan yang lengkap.
“Kita tidak mahu pelancong terus ke Genting, kita mahu mereka singgah dahulu di Sepang.
“Inilah semangat SSD pelancongan milik rakyat bukan milik syarikat besar semata-mata,” ujarnya.
SSD disasarkan untuk menyokong aspirasi nasional termasuk ASEAN 2025, Visit Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026 dengan menampilkan produk pelancongan komuniti di sekitar KLIA, pantai Bagan Lalang, agro dan ekopelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam masa yang sama, pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Baharu Ahli Parlimen Sepang di Salak Tinggi turut diumumkan.
Perpindahan dari Dengkil ke lokasi baharu di Jalan Banting menghala Nilai dibuat berdasarkan faktor strategik seperti akses yang mudah, visibiliti yang tinggi serta potensi pembangunan setempat.
“Ini bukan sekadar pembukaan pejabat, tetapi pembukaan satu semangat dan iltizam baharu dalam menyantuni rakyat.
“Kita mahu pusat khidmat ini menjadi jambatan antara suara rakyat dan pelaksanaan dasar,” katanya lagi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu, di hadapan lebih 200 hadirin yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, Pegawai Daerah Sepang, Khairil Azali Ibrahim serta ketua-ketua jabatan termasuk Ketua Polis Daerah Sepang dan KLIA, serta Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Kuala Langat dan Sepang.
Majlis pelancaran itu menjadi manifestasi kepada pendekatan inklusif dan berpaksikan rakyat yang dibawa oleh kepimpinan Parlimen Sepang dalam memperkukuh khidmat dan pembangunan daerah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








