TER Gunung Senyum ditutup sementara hingga 1 Mac
TEMERLOH – Taman Eko Rimba (TER) Gunung Senyum di sini akan ditutup sementara sehingga 1 Mac ini bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf.
Pegawai Hutan Daerah Temerloh, Nik Muhammad Faris Nik Othman, berkata, sehubungan itu semua aktiviti lawatan ke dalam gua dan mendaki kawasan gunung batu kapur terbabit tidak dibenarkan dalam tempoh berkenaan.
“Semua pelancong diminta mematuhi notis yang dikeluarkan bagi menjamin keselamatan mereka.
“Para pemandu pelancong atau malim gunung termasuk penyedia kemudahan kenderaan ke kawasan terbabit sudah dimaklumkan bagi memastikan mereka tidak menerima tempahan daripada pelancong yang ingin ke tempat terbabit,” katanya hari ini.
Pada masa yang sama, katanya, penutupan sementara itu dibuat bagi mengelakkan risiko bencana ketika Monson Timur Laut (MTL) yang boleh menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Aktiviti mendaki Gunung Senyum yang mencapai ketinggian 486 meter serta terdapat kira-kira 18 gua seperti Gua Terang Bulan, Gua Angin, Gua Kolam Tujuh, Gua Gajah, Gua Makam Tok Long dan Gua Silat ketika serta selepas hujan mengundang bahaya kerana keadaan laluan yang licin
“TER Gunung Senyum yang terletak dalam Hutan Simpan Jengka menjadi antara destinasi pelancongan yang terkenal di daerah ini, prlbagai kemudahan disediakan JPNP untuk keselesaan pelancong,” katanya lagi.
Tambahnya, jumlah pelancong tempatan dan luar negara ke TER Gunung Senyum semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.
TER Gunung Senyum terkenal dengan keindahan gua batu kapur dan pemandangan menarik serta persekitaran yang nyaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








