BERITA SEMASADALAM NEGERIJOM RONDA

Wilayah Pantai Timur di landasan terbaik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

KUALA TERENGGANU – Wilayah Pantai Timur berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan utama negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), susulan prestasi memberangsangkan sektor pelancongan negara yang merekodkan 28.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan 14.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi promosi dan kerjasama bersepadu antara kerajaan, agensi pelancongan serta pemain industri, khususnya di Wilayah Pantai Timur yang meliputi Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd. Azizul Arif Yahaya berkata, pelbagai bentuk kerjasama strategik telah dijalinkan sepanjang tahun ini melibatkan agensi pengembaraan, pengusaha produk pelancongan, penyedia penginapan, syarikat penerbangan, penganjur acara, badan bukan kerajaan (NGO), aktivis pelancongan serta kerajaan negeri.

Beliau berkata, hasil sinergi bersepadu itu menyaksikan sebanyak 145 pakej percutian baharu berjaya dibangunkan dan dilancarkan secara rasmi.

“Kepelbagaian produk pelancongan tersebut dirangka bagi memenuhi keperluan pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk mencapai sasaran 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa sempena VM2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara GRACE 2025 (Gathering of Recognition, Appreciation, Collaboration and Excellent 2025) oleh Tourism Malaysia Wilayah Timur yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Pantai timur
Acara GRACE 2025 (Gathering of Recognition, Appreciation, Collaboration and Excellent 2025) oleh Tourism Malaysia Wilayah Timur. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

GRACE 2025 diadakan bagi menghargai komitmen dan kerjasama erat rakan industri yang menjadi tulang belakang kepada usaha membangun, mempromosi serta memasarkan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi percutian unggul di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dalam kenyataan berasingan, Tourism Malaysia Wilayah Timur memaklumkan pakej percutian berkenaan merangkumi pelbagai segmen termasuk ekopelancongan, pengembaraan lasak, gastronomi, budaya dan warisan, selain pelancongan minat khas yang menonjolkan keunikan alam semula jadi serta identiti budaya Pantai Timur.

Sementara itu, Azizul turut menghargai peranan media yang disifatkan amat signifikan dalam menjayakan inisiatif promosi pelancongan melalui laporan berterusan, kandungan visual dan platform digital yang berkesan.

“Hebahan media telah membantu meningkatkan keterlihatan Terengganu, Kelantan dan Pahang sebagai destinasi percutian yang unik, berdaya saing serta kaya dengan khazanah alam dan budaya.

“Hubungan erat inilah yang menjadi asas kejayaan pelbagai program promosi yang telah dan akan dilaksanakan, termasuk misi jualan, pameran, jerayawara, bengkel serta aktiviti libat urus bersama pemain industri,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha berterusan itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memartabatkan Malaysia, khususnya Wilayah Pantai Timur, sebagai destinasi pelancongan unggul, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button