Pembantu juruterbang disyaki ambil bekalan dadah di Ampang – Polis
SHAH ALAM – Pembantu juruterbang yang didakwa cuba menyeludup dadah ke Indonesia, baru-baru ini dipercayai mendapat bekalan dadah berkenaan di Ampang, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek turut dijadualkan terbang ke Kota Kinabalu, Sabah sebelum ke Jakarta, Indonesia pada hari sama.
Menurutnya, sebelum berlepas ke Kota Kinabalu, suspek sudah mendaftar masuk bagasinya yang mengandungi dadah terbabit, awal pagi hari berkenaan.
“Polis dapat kesan, suspek ambil bekalan itu di satu kawasan Pangsapuri di Ampang. Kita juga sudah dapat nombor telefon yang dihubungi (oleh suspek).
“Suspek dipercayai ‘early check in’ (daftar masuk awal) bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Jakarta.
“Dia kemudian ada ‘flight’ ke Kota Kinabalu pagi itu, sebelum pulang semula ke KLIA dan berlepas ke Jakarta pada malam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut sedang menyiasat bagaimana bagasi yang mengandungi dadah terbabit berjaya melepasi mesin pengimbas bagasi lapangan terbang.
“Polis melihat secara keseluruhan – pertama, PDRM sedang melihat bagaimana dia mendapatkan bekalan dalam negara.
“Kedua dari aspek bagaimana suspek boleh melepasi saringan keselamatan di pintu keluar negara.
“Dan yang ketiga, polis sedang menyiasat sama ada kes berkaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di Indonesia,” katanya.
Buat masa ini, PDRM sedang menunggu kelulusan daripada Polis Negara Indonesia (POLRI) dan Badan Narkotika Nasional Indonesia (BNN) bagi menemubual suspek terbabit.
“Kami sedang menunggu kelulusan daripada POLRI… bila masa yang sesuai untuk menemubual suspek.
“Sebaik sahaja mendapat kelulusan, tidak lama lagi. Kita boleh bertolak pada hari yang sama ke sana,” katanya.
Beliau kemudiannya menambah, rekod PDRM sebelum ini menunjukkan terdapat beberapa kes membabitkan juruterbang sebagai keldai dadah iaitu pada 2012 yang ditahan di Australia serta dua kes direkodkan pada 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















