BERITA SEMASA

Warga emas maut, lima ahli keluarga selamat dalam kebakaran

IPOH – Seorang wanita warga emas maut manakala lima ahli keluarganya termasuk suami terselamat dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Rapat Tambahan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 kira-kira pukul 9.19 malam.

Warga emas maut, lima ahli keluarga selamat dalam kebakaran
Foto -JBPM

Menurut beliau, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

“Siasatan awal mendapati seramai enam individu sekeluarga berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian.

“Kebakaran itu mengorbankan seorang wanita berusia 84 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Suami mangsa yang berusia 83 tahun pula berjaya diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, empat lagi ahli keluarga berusia antara 18 hingga 49 tahun berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-254 2222,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button