JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas maut kemalangan tiga kenderaan di Gerik

GERIK – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Padang Jeri, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam dan mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan Proton Waja dipandu mangsa, Proton Persona yang dipandu wanita berusia 29 tahun serta Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati Proton Waja bergerak dari arah Kuala Kangsar menghala ke Gerik, manakala Proton Persona berada di belakangnya.

“Toyota Hilux pula datang dari arah bertentangan sebelum Proton Waja dipercayai hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bahagian sisi kanan Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata, Proton Waja kemudian berpusing masuk semula ke laluannya sebelum melanggar Proton Persona yang berada di belakang.

Akibat kemalangan itu, Toyota Hilux terbabas dan terbalik separuh di atas penghadang jalan, manakala Proton Waja dan Proton Persona berhenti di laluan menghala Kuala Kangsar ke Gerik.

Beliau berkata, penumpang Proton Waja berusia 59 tahun mengalami kecederaan pada muka dan kaki kanan, manakala pemandu Toyota Hilux cedera di bahagian leher.

“Pemandu dan penumpang Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis kini sedang mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button