Pelakon ‘Top Gun: Maverick’ maut ditikam di Los Angeles
CALIFORNIA – Pelakon veteran, James Handy yang dikenali menerusi kemunculannya dalam filem Top Gun: Maverick meninggal dunia selepas dipercayai ditikam di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa), insiden itu berlaku pada pagi Rabu apabila pasukan kecemasan dikejarkan ke sebuah rumah di kawasan barat laut bandar raya berkenaan susulan laporan mengenai serangan.
Polis memaklumkan mereka menemui Handy, 81, dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman depan rumahnya dengan kesan tikaman pada bahagian dada.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh pasukan paramedik, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Dalam perkembangan sama, seorang lelaki yang dipercayai anak kepada teman wanita mangsa dilaporkan menyerah diri kepada pihak berkuasa di lokasi kejadian.
Menurut polis, mereka menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya baru sahaja membunuh seorang individu sebelum pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian.
Kematian Handy turut disahkan oleh jurucakap pelakon itu kepada majalah hiburan Variety.
Sepanjang kariernya, Handy pernah memegang watak Jimmy, seorang pelayan bar dalam filem aksi Top Gun: Maverick yang ditayangkan pada 2022.
Beliau juga dikenali menerusi penampilannya dalam filem pengembaraan popular Jumanji pada tahun 1995.
Pemergian mendiang menamatkan perjalanan seni seorang pelakon berpengalaman yang telah mewarnai industri hiburan Hollywood selama beberapa dekad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















