BERITA SEMASA

Tokoh politik Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Yazid Baba meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terentang, Tan Sri Mohd Yazid Baba dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada pukul 4.36 pagi tadi.

Berita pemergian tokoh politik Negeri Sembilan berusia 92 tahun itu dimaklumkan anaknya yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Mastura yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar memaklumkan, jenazah bapanya disembahyangkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat Zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima segala amal bakti, melapangkan kubur, menerangi tempat persemadiannya dengan cahaya rahmat-Nya serta mengurniakan buat beliau syurga Firdaus tertinggi,” katanya.

Mohd Yazid pernah berkhidmat sebagai ADUN Terentang yang kini dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong selama tiga penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, 1978 dan 1982, selain pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.

Menurut laporan Bernama, selain aktif dalam politik, beliau yang mempunyai latar belakang dalam perkhidmatan polis dan bidang guaman pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) serta Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Mohd Yazid juga merupakan abang sulung Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Allahyarham Tan Sri Rashdan Baba.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Zainun Yusuff, lima anak serta cucu dan cicit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button