BERITA SEMASA

Lebih 400,000 rakyat Malaysia di Singapura bakal dilindungi skim PERKESO

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan mencadangkan satu skim khas di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melindungi lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.

Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, inisiatif dikenali sebagai ‘Skim Kembara’ itu kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan sosial pekerja, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam tempoh singkat ini, kita memberi keutamaan kepada inisiatif menyeluruh dan jangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya dalam kenyataan sempena 100 hari beliau menerajui kementerian itu hari ini.

Beliau berkata Skim Lindung 24/7 turut diperkenalkan bagi memberi perlindungan sepanjang masa kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Selain itu, kementerian juga menyediakan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara percuma kepada 10,000 pekerja industri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam perkembangan sama, PERKESO menjalin kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi membantu penempatan pekerjaan kepada 5,000 veteran menjelang 2030 menerusi program MyFutureJobs.

Pada masa sama, kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan bakat melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang dijangka memanfaatkan kira-kira 90,000 individu.

Menurut Ramanan, langkah itu penting bagi memastikan tenaga kerja negara kekal relevan, berdaya saing serta mampu menikmati pendapatan setimpal dengan kemahiran dimiliki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button