Emas RM9.7 juta dilarikan penyamun dalam rompakan bersenjata di Brickfields
KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 dulang emas dengan anggaran berat kira-kira 15 kilogram dan nilai mencecah RM9.7 juta dilarikan sekumpulan penyamun bersenjata api di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada pukul 11 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, empat lelaki yang belum dikenal pasti identiti dan bangsa dipercayai memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan dua pucuk pistol sebelum melarikan barangan kemas tersebut dalam tempoh beberapa minit.
Selain emas, suspek turut melarikan selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan selepas menyerangnya ketika kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sekitar pukul 11 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan.
“Usaha mengesan serta menahan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan penjenayah bersenjata melakukan rompakan di sebuah kedai emas di Sentral Suites, Brickfields.
Rakaman tersebut menunjukkan suspek menyerang pengawal keselamatan sebelum melarikan sejumlah barangan berharga.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








