Empat pelombong sesat di gua keluar sendiri selepas 10 hari terperangkap, dua lagi masih hilang
VIENTIANE – Empat pelombong emas di Laos berjaya keluar sendiri dari sebuah gua yang dinaiki air selepas terperangkap selama 10 hari, dalam kejadian yang mencetuskan operasi menyelamat berskala besar di wilayah Xaisomboun.
Menurut pasukan penyelamat, kesemua mangsa keluar dari gua berkenaan hari ini ketika anggota penyelamat sedang membuat persiapan untuk memasuki semula kawasan itu bagi membawa mereka keluar.
Sehari sebelum itu, seorang mangsa daripada kumpulan tujuh pelombong terbabit berjaya diselamatkan, menjadikan lima individu ditemui dalam keadaan selamat setakat ini dan dua lagi masih hilang.
Video yang tular di media sosial menunjukkan empat mangsa berkenaan berjalan dan merangkak keluar dari pintu gua dalam keadaan keletihan, dengan tubuh mereka diselaputi lumpur selepas berhari-hari terperangkap di dalamnya.
Difahamkan, kumpulan pelombong itu memasuki gua berkenaan lebih seminggu lalu untuk mencari emas dan mineral berharga sebelum terperangkap apabila banjir kilat menenggelamkan laluan keluar.
Dalam operasi SAR semalam, mangsa yang ditemui diberikan bekalan makanan, air minuman dan selimut kecemasan bagi membantu memulihkan keadaan mereka sementara operasi menyelamat disambung semula.
Operasi menyelamat membabitkan kerjasama pasukan dari Laos dan Thailand, selain dibantu penyelam serta pakar gua antarabangsa, termasuk beberapa individu yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja yang terperangkap di Gua Tham Luang, Thailand pada 2018.
Pasukan penyelamat berdepan pelbagai cabaran sepanjang operasi, termasuk laluan sempit, arus air deras dan tahap penglihatan yang hampir sifar akibat air bercampur lumpur.
Pihak berkuasa Laos kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengesan dua lagi pelombong yang masih belum ditemui, meskipun keadaan di bahagian dalam gua terus dianggap berbahaya dan berisiko tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








