JENAYAH & MAHKAMAH

Penolong kanan jualan kedai emas mengaku tidak bersalah curi barang kemas lebih RM8,000

SEREMBAN – Seorang penolong kanan jualan kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri cincin dan rantai emas milik majikannya yang dianggarkan bernilai lebih RM8,000.

Tertuduh, Muhammad Zuhairi Khasful Anuar, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sebentuk cincin dengan anggaran berat 5.51 gram dan seutas rantai emas seberat 6.48 gram dengan nilai keseluruhan RM8,154.80 milik majikannya di sebuah kedai emas di Aeon Mall Nilai, antara 9 April hingga 7 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh akan dijamin oleh ibunya yang merupakan seorang suri rumah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button