BERITA SEMASALUAR NEGARA

Wisma Putra pantau banjir besar di Laos, tiada rakyat Malaysia terlibat

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane sedang memantau situasi banjir yang melanda beberapa wilayah di Laos susulan hujan lebat akibat Monsun Barat Daya serta kesan Taufan Wipha.

Menurut kenyataan Wisma Putra, maklumat daripada Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) memaklumkan bahawa bencana tersebut telah menjejaskan lebih 58,000 penduduk melibatkan sekitar 34,000 keluarga di 10 wilayah terjejas.

“Sehingga kini, sebanyak sembilan kematian telah dilaporkan manakala empat lagi mangsa masih belum ditemui,” jelas kenyataan itu.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam bencana tersebut.

Bagaimanapun, warga Malaysia yang berada di Laos diingatkan supaya terus berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan serta nasihat keselamatan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia digesa untuk mengikuti perkembangan cuaca semasa serta mematuhi panduan perjalanan yang dikeluarkan secara rasmi oleh pihak berkuasa,” tambah kenyataan itu.

Wisma Putra turut menggesa semua warga Malaysia di Laos agar mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane serta kekal berhubung bagi tujuan bantuan dan mendapatkan maklumat terkini sekiranya diperlukan.

Sebarang keperluan konsular boleh disalurkan menerusi talian +856 21 414205 / +856 21 414201 atau talian kecemasan +856 20 5553 1801. Emel rasmi kedutaan ialah mwvientiane@kln.gov.my.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi banjir ini secara teliti dan memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di Laos terus menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button