Tidak berdaftar dengan kedutaan, 3 rakyat Malaysia bersama suami warga Sudan sedang diselamatkan – Zambry
PUTRAJAYA – Tiga orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada seorang ibu dan dua orang anaknya serta suami warganegara
Sudan yang terperangkap akibat pertempuran di negara itu sedang dalam usaha dibawa balik ke Malaysia.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, kesemua mereka yang tinggal di wilayah Al Gaza tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.
“Maklumat diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Sudan.
“Keluarga ini tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum. Walaubagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Taskforce Ops Sudan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zambry berkata, pada ketika ini, tiga-tiga orang rakyat Malaysia serta suaminya
sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba di pelabuhan itu pada hari ini.
Katanya, pihaknya melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan sedang memohon bantuan kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa yang terdekat.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dua lagi rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan yang sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan, katanya, mereka berada dalam keadaan selamat.
“Mereka ialah Mejar Zazalina Ghazali dan Lt. Kdr. Naadifarin Che Kamaruddin. Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah Abyei tidak terjejas teruk oleh pertempuran di Sudan.
“Jika keadaan memerlukan, proses
membawa keluar kedua-kedua rakyat Malaysia ini akan dikendalikan pihak PBB,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan telah berjaya membawa pulang pulang 30 orang rakyat Malaysia ke tanah air menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV834).
Ini termasuk seorang warga Filipina (pembantu rumah), seorang warga
Thailand (PETRONAS) dan seorang warga Palestin (bapa kepada empat orang rakyat Malaysia yang dibawa balik).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








