Konflik Timur Tengah: Wisma Putra pantau keselamatan rakyat Malaysia – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Luar akan terus memantau secara dekat keselamatan rakyat Malaysia di rantau Timur Tengah susulan ketegangan yang berlaku ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Luar atau dikenali sebagai Wisma Putra sedang memantau rapat perkembangan semasa serta membantu melalui kedutaan dan menghubungi rakyat Malaysia sekiranya perlu pulang ke tanah air.
Menurut beliau, setakat ini penerbangan keluar hanya boleh dibuat dari Arab Saudi, manakala negara lain masih belum mendapat kepastian susulan gangguan dan sekatan penerbangan.
“Wisma Putra sedang memantau dengan dekat dan membantu melalui kedutaan serta menghubungi jika perlu pulang walaupun penerbangan tersekat. Setakat ini hanya boleh dari Arab Saudi, negara lain belum ada kepastian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga : Malaysia kutuk keras serangan Israel, AS terhadap Iran gesa henti segera konflik
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebahagian rakyat Malaysia menetap di negara terlibat manakala sebahagian lagi merupakan pelancong serta jemaah umrah.
Beliau berkata, sejumlah besar rakyat Malaysia bertugas di rantau Timur Tengah dengan jumlah melebihi 29,112 orang, termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar, paling ramai di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak melupakan nasib rakyat Palestin yang terus terkesan akibat konflik berterusan.
Katanya, sebaik sahaja peperangan tercetus, pintu Rafah ditutup sekali gus menyebabkan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin terbantut.
Susulan itu, beliau berkata, Malaysia melancarkan misi bantuan kemanusiaan Sumud Darat degan 30 kontena Malaysia ke Gaza yang mengandungi 374 tan bahan makanan serta kit kebersihan sebagai tanda solidariti rakyat negara ini terhadap perjuangan Palestin.
“Saya bangga dengan semangat ‘sumud’ rakyat Palestin. Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan solidariti rakyat Malaysia yang melangkaui kaum, agama dan latar belakang politik,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Malaysia akan terus konsisten berdiri teguh membantu meringankan beban akibat kezaliman rejim Zionis, manakala Wisma Putra akan terus mengaktifkan pemantauan rapi termasuk melalui konsulat serta menyalurkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia sama ada yang memilih untuk pulang atau kekal di negara terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








