Anwar seru rakyat perkukuh keharmonian sempena Tahun Baharu Cina
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memperkukuh keharmonian dan semangat muhibah sempena sambutan Tahun Baharu Cina, sambil menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya meretakkan hubungan yang telah lama terbina.
Menurut beliau, sambutan Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan rakyat tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Pada tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Anwar turut memetik ajaran tokoh falsafah China, Confucius yang menekankan bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Beliau berkata, prinsip itu menjadi asas penting yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa wacana awam kini semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, justeru rakyat tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan menghakis rasa percaya yang telah lama terbina.
“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah sekiranya keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.
“Semoga tahun ini, seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan dengan kesejahteraan dan kemakmuran. Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Ma Nian Xin Da Yun!” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








