PM mahu hentikan budaya rakyat beratur panjang terima bantuan
BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI komited menamatkan amalan lama yang memaksa rakyat beratur panjang untuk menerima bantuan kewangan, sebaliknya memperluaskan kaedah penyaluran terus ke akaun penerima bagi menjaga maruah dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan tidak lagi sesuai diamalkan pada era digital kerana ia menggambarkan seolah-olah rakyat tidak dihormati, selain menyerupai sistem lapuk yang tidak lagi relevan.
“Saya tidak setuju jika pada tahun 2026 rakyat masih perlu beratur untuk menerima bantuan. Ini bukan soal politik pilihan raya. Jangan anggap rakyat itu hamba.
“Kita sekarang negara merdeka dan berdaulat. Rakyat mempunyai harga diri, hak, kebebasan serta semangat kemerdekaan yang perlu dihormati,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada sistem penyaluran bantuan secara terus ke akaun bank penerima bagi memastikan proses penyampaian lebih cekap dan bermaruah.
Beliau berkata, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan awal persekolahan seharusnya disalurkan terus kepada penerima tanpa memerlukan mereka hadir dan beratur panjang.
“Apabila bantuan boleh dimasukkan terus ke akaun, tiada lagi keperluan untuk rakyat beratur berjam-jam bagi mendapatkannya. Itulah cara kita menghormati maruah rakyat,” katanya memetik laporan Metro Online.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan terus komited memastikan keadilan dalam akses pendidikan dengan menjamin kemasukan ke program matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira kaum.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi menghargai kecemerlangan pelajar serta mengelakkan isu pendidikan dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.
Katanya, dasar tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh semua parti yang menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem pendidikan dan melahirkan generasi muda yang cemerlang.
Menyentuh mengenai kemunculan beberapa parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Anwar berkata setiap pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti politik sebagai wadah perjuangan masing-masing.
“Kalau mahu menguji sokongan, medan terbaik ialah pilihan raya. Setiap minggu ada parti baharu muncul dan itu hak mereka.
“Tetapi persoalannya, apa kelainan dan keistimewaan yang dibawa untuk mentadbir negara yang berdepan pelbagai cabaran?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya membuat penilaian secara bijaksana dan memilih kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat, bukannya yang terpalit dengan salah guna kuasa atau memainkan politik perkauman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















