Maszlee sifatkan kemenangan di Puteri Wangsa sebagai amanah besar, bukan perlu dimegahkan
JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa yang baharu, Dr Maszlee Malik menyifatkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, bukannya satu kebanggaan untuk dimegahkan.
Beliau berkata, kekal sebagai satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi dalam PRN Johor kali ini merupakan manifestasi kepercayaan rakyat yang wajib dijunjung dengan penuh keinsafan.
Pada masa sama, Maszlee merakamkan ucapan terima kasih kepada pimpinan tertinggi PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang memberikan sokongan sepanjang kempen, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Nurul Izzah Anwar, Datuk Fuziah Salleh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga buat Datuk Mustapha Sakmud, Datuk Jamawi Jaafar, William Leong, Dr Sathia, George Gunarajan, Sim Tze Sin, Aidi @ Ijoy, Rafidi, dan Azran.
“Tidak dilupakan juga buat seluruh kepimpinan akar umbi dan jentera sokongan; Ketua Cabang Bangi, Ketua Cabang Tebrau, Ketua Cabang Pasir Gudang, Ketua Cabang Kota Melaka dan pasukan, Ketua Cabang Bachok dan pasukan, cikgu Wan Azlan, cikgu Zaini, ustaz Mahmod, serta sokongan padu daripada rakan-rakan hebat Team Keadilan Selangor dan Team Keadilan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut juga tidak mungkin dicapai tanpa komitmen pasukan media yang bertanggungjawab merancang strategi kempen digital serta menguruskan penyebaran mesej dan naratif perjuangan kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Maszlee turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya, sama ada dari dalam mahupun luar Johor, yang bertungkus-lumus membantu sepanjang kempen sehingga hari pengundian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada isteri dan ahli keluarga atas doa, pengorbanan serta kesabaran mereka dalam menghadapi cabaran sepanjang perjuangan politik.
Sementara itu Maszlee mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Puteri Wangsa yang telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mewakili mereka.
Mengambil iktibar daripada kata-kata tokoh ilmuwan Islam, Abu Hamid al-Ghazali, beliau menegaskan bahawa amanah merupakan perkara paling berat untuk dipikul.
“Kemenangan ini adalah amanah yang sangat berat. Saya memohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memikul amanah ini, membela nasib rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara Keadilan di bumi Johor dengan sebaik-baiknya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















