BERITA SEMASALUAR NEGARA

PBB desak laluan selamat, RSF didakwa kuasai sepenuhnya El-Fasher

KAHERAH – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar laluan selamat diwujudkan segera bagi membolehkan penduduk awam keluar dari bandar El-Fasher, Sudan, susulan laporan bahawa pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah menawan sepenuhnya pangkalan utama tentera kerajaan di bandar berkenaan.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam satu kenyataan di New York berkata, perkembangan terbaharu itu menandakan peningkatan serius dalam konflik berdarah yang telah berlarutan lebih dua tahun, sambil menzahirkan kebimbangan terhadap kemasukan senjata dan pejuang asing ke Sudan.

“El-Fasher merupakan benteng terakhir tentera Sudan di wilayah barat Darfur yang luas dan telah dikepung oleh RSF serta sekutunya hampir 18 bulan,” katanya.

Pada Ahad lalu, RSF mendakwa berjaya menawan sepenuhnya bandar El-Fasher, yang juga ibu negeri Darfur Utara.

Sekiranya penguasaan itu disahkan, ia menjadikan pasukan pimpinan Jeneral Mohammed Hamdan Dagalo atau Hemedti kini menguasai keseluruhan lima negeri di wilayah Darfur.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan situasi itu sebagai kemajuan besar buat RSF dan amaran bahawa Sudan berisiko berpecah secara de facto, sekali gus memperburuk krisis kemanusiaan yang telah menjejaskan jutaan penduduk.

Menurut agensi kemanusiaan PBB, pertempuran berterusan di El-Fasher telah menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri, manakala hospital utama di bandar tersebut dilaporkan lumpuh akibat kekurangan bekalan perubatan dan gangguan keselamatan.

PBB turut menggesa semua pihak agar menghentikan serangan ke atas kawasan awam serta mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi melindungi orang awam dan pekerja bantuan.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang tercetus sejak April 2023 telah menyebabkan lebih 14,000 orang terbunuh dan lebih lapan juta lagi kehilangan tempat tinggal, menjadikan krisis di Sudan antara yang terburuk di dunia ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button