BERITA SEMASA

Semua pusat beli-belah wajib sedia fasiliti kitar semula mulai tahun depan – Kor Ming

PUTRAJAYA – Bermula 1 Januari tahun depan, semua pusat beli-belah di seluruh negara diwajibkan menyediakan fasiliti kitar semula sebagai syarat utama kelulusan lesen perniagaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Nga Kor Ming berkata, langkah itu sejajar dengan agenda Reformasi Pembersihan Awam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, pelaksanaan inisiatif tersebut akan memperhebatkan lagi kempen kesedaran Rethink, Reuse, Reduce dan Recycle selain membantu meningkatkan kadar kitar semula negara ke tahap 65 peratus seperti dicapai Kesatuan Eropah (EU).

“Tanpa fasiliti ini, mana-mana pusat beli-belah tidak akan diberikan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Semarak Jiwa Merdeka @ KPKT di sini hari ini.

Kor Ming berkata, inisiatif itu turut diperkuatkan dengan penggunaan kenderaan elektrik (EV) untuk tujuan kutipan sampah, selaras usaha mengurangkan pelepasan karbon ke arah ekonomi sifar karbon menjelang 2035.

Menurutnya, bermula tahun hadapan juga, kerja-kerja pembersihan jalan akan dilaksanakan pada waktu malam di lokasi strategik seperti pusat bandar dan kawasan tumpuan pelancong bagi mengurangkan gangguan trafik dan memberi persekitaran kerja yang lebih selesa kepada petugas kebersihan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan KPKT akan memacu pembangunan projek waste-to-energy (WTE) bagi menukar sisa pepejal kepada tenaga elektrik menggunakan teknologi moden.

“Teknologi WTE yang telah terbukti berjaya di beberapa negara akan diaplikasikan di Malaysia bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih mampan dan bersih, selain memberi manfaat tenaga kepada rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button