Isu MyKiosk: Kor Ming sedia disiasat, jemput Azam Baki minum teh
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkaitan ketelusan harga projek MyKiosk.
Menterinya, Nga Kor Ming menegaskan, pihak kementerian tidak akan berdiam diri terhadap dakwaan tidak berasas dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.
“Kita terbuka untuk disiasat. Saya jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat minum teh. Malah, saya telah arahkan pegawai KPKT untuk mengesan TikToker dan individu yang menyebarkan berita palsu,” katanya dalam sidang media Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Media 2025, di sini, hari ini.
Menurut Kor Ming, projek MyKiosk telah dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi mencalar imej Kerajaan MADANI dan mendakwa tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada MCA untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Saya nampak ada usaha untuk jatuhkan imej kerajaan. MCA sepatutnya sebagai parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu membantu kerajaan, bukan sebaliknya,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa projek MyKiosk diberikan kepada kroni, Kor Ming menegaskan adalah tidak masuk akal untuk mengatakan 795 kontraktor terlibat merupakan kroninya.
Tegas beliau, negeri Johor menerima bilangan kios tertinggi, malah ahli majlis di negeri itu juga terdiri daripada wakil MCA.
“Kalau Johor dapat paling banyak, MCA yang kendalikan tender dan terima anugerah, mengapa mereka pula yang marah? Kalau bodoh tidak mengapa, tapi jangan bodoh sombong,” tegas beliau.
Kor Ming turut menjelaskan bahawa MyKiosk 2.0 telah melalui proses penambahbaikan, antaranya dilengkapi sistem tenaga solar yang mampu bertahan sehingga 12 jam berbanding empat jam sebelum ini.
Reka bentuk baharu juga menyediakan rak boleh laras, tingkap hidraulik, bumbung berkecerunan serta diperbuat daripada bahan galvanized steel yang disalut serbuk untuk ketahanan lebih baik.
“Takkan harga BMW sama dengan harga Perodua Kancil? Tukang fitnah ini hanya mahu merosakkan usaha Kerajaan Madani untuk membantu rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







