BERITA SEMASALUAR NEGARA

Banjir: Kerajaan Indonesia saman 6 syarikat balak

JAKARTA – Kerajaan Indonesia memfailkan saman sivil terhadap enam syarikat dengan tuntutan ganti rugi melebihi AS$200 juta (kira-kira 4.8 trilion rupiah) susulan bencana banjir besar di Sumatera tahun lalu yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Kementerian Alam Sekitar Indonesia memaklumkan, tindakan undang-undang itu difailkan di mahkamah Jakarta dan Medan pada Khamis, melibatkan kawasan lebih 2,500 hektar yang didakwa mengalami kerosakan serius akibat aktiviti syarikat berkenaan.

Menurut kementerian, jumlah tuntutan merangkumi denda terhadap kerosakan alam sekitar serta kos pemulihan ekosistem yang terjejas.

Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq, menegaskan prinsip polluter pays akan dikuatkuasakan sepenuhnya terhadap pihak yang didapati bersalah.

“Mana-mana syarikat yang meraih keuntungan dengan merosakkan ekosistem mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memulihkan kerosakan yang berlaku,” katanya.

Banjir besar yang melanda wilayah barat laut Sumatera tahun lalu mengakibatkan aliran lumpur serta kayu balak dihanyutkan ke kawasan penempatan, sekali gus mencetuskan kemusnahan besar dan korban nyawa.

Pakar alam sekitar, aktivis serta pihak berkuasa sependapat bahawa penyahhutanan secara meluas menjadi antara faktor utama yang memburukkan kesan bencana tersebut.

Aktivis Greenpeace Indonesia, Arie Rompas, menyifatkan langkah saman kerajaan itu sebagai tindakan “minimalis” dan menggesa semakan menyeluruh terhadap dasar yang membenarkan syarikat menjalankan aktiviti yang merosakkan hutan.

“Selain kesan krisis iklim, banjir turut berpunca daripada degradasi tanah termasuk penebangan hutan oleh korporat yang memperoleh permit daripada kerajaan,” katanya kepada AFP.

Indonesia sebelum ini dilaporkan kehilangan ratusan ribu hektar hutan hujan tropika dalam tempoh beberapa dekad akibat perlombongan, perladangan dan kebakaran hutan.

Analisis oleh projek Nusantara Atlas menunjukkan lebih 240,000 hektar hutan primer musnah pada 2024 sahaja, sekali gus mencetuskan kebimbangan berterusan terhadap kelestarian alam sekitar negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button