ISU yoga kembali menjadi perhatian masyarakat apabila tular rakaman seorang wanita bertudung yang difahamkan adalah seorang Muslim, melakukan aktiviti yoga di hadapan patung berhala.
Perkara itu mengundang pelbagai reaksi, daripada kebimbangan terhadap pegangan akidah umat Islam hinggalah kecaman terhadap individu terbabit.
Namun, di sebalik kontroversi tersebut, ada persoalan yang lebih besar untuk kita fikirkan dan kaji lebih mendalam iaitu di manakah garis pemisah antara senaman yang menyihatkan tubuh dengan amalan yang boleh menyentuh soal akidah?
Persoalan ini penting kerana yoga pada hari ini hadir dalam pelbagai bentuk.
Ada yang sekadar menggunakan gerakan regangan dan latihan pernafasan, tetapi ada juga yang disertai mantra, meditasi bercorak keagamaan, konsep chakra, tenaga metafizik, pemujaan dan unsur kerohanian yang mempunyai akar dalam tradisi tertentu.

Justeru, kita tidak wajar membuat kesimpulan bahawa setiap pergerakan fizikal yang menyerupai yoga secara automatik menjadikan seseorang itu terkeluar daripada batas syarak.
Sebaliknya, kandungan, tujuan dan makna sesuatu amalan perlu diteliti.
Perkara ini ditegaskan dalam penulisan oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalui platform Tinta Mufti, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuanā mengenai ‘Yoga dan Meditasi dalam Mizan Akidah Islam’.
Dalam penjelasan tersebut, ditegaskan bahawa pergerakan fizikal yang benar-benar bebas daripada unsur keagamaan, mantra dan pemujaan tidak dihukum semata-mata kerana mempunyai persamaan bentuk dengan yoga.
Namun, apabila aktiviti tersebut memasukkan unsur ritual atau penghayatan kerohanian agama lain, pertimbangannya berubah.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-83 pada 2008 telah memutuskan bahawa yoga yang menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan, mantra dan pemujaan adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah Muslim.
Di Wilayah Persekutuan pula, fatwa berkaitan senaman yoga telah diwartakan pada 2 April 2009. Fatwa tersebut melarang yoga yang mengandungi unsur keagamaan dan pemujaan serta apa-apa bentuk senaman yang mengandungi unsur berkenaan.
Ini menunjukkan bahawa isu ini bukan sekadar pendapat individu di media sosial. Ia mempunyai latar hukum dan kerangka autoriti agama yang perlu difahami masyarakat.Ā Dari perspektif Islam, asas pertimbangannya ialah tauhid.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anāam ayat 162:Ā āSesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.ā
Ayat ini mengajar bahawa kehidupan Muslim tidak terpisah daripada pengabdian kepada Allah.
Kesihatan tubuh, kecergasan dan ketenangan fikiran memang dianjurkan Islam, tetapi pencarian tersebut tidak seharusnya membawa kita kepada amalan yang mempunyai unsur pengabdian kepada selain Allah.
Para ulama juga memberi perhatian kepada isu tasyabbuh iaitu penyerupaan terhadap sesuatu yang menjadi ciri khas agama lain.
Nabi SAW bersabda: āBarang siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.ā (Riwayat Abu Dawud).
Hadis ini tidak bermaksud setiap persamaan budaya atau teknologi dengan bukan Islam adalah haram.
Para ulama seperti Ibn Hajar al-āAsqalani menjelaskan bahawa larangan lebih berkaitan dengan perkara yang menjadi ciri khas atau syiar sesuatu kelompok, khususnya dalam persoalan agama dan ritual. (Jabatan Mufti Wilayah Persekutuanā )
Di sinilah kita perlu menggunakan kebijaksanaan. Islam tidak mengajar umatnya hidup dalam ketakutan terhadap semua perkara yang datang daripada budaya luar.
Pada masa yang sama, Islam juga tidak mengajar kita menerima sesuatu secara membuta tuli hanya kerana ia popular, moden atau dikaitkan dengan gaya hidup sihat.
Prinsip maqasid al-shariah mengajar kita menjaga agama (hifz al-din) dan pada masa yang sama menjaga nyawa serta kesihatan (hifz al-nafs). Kedua-duanya penting.
Maka, jika seseorang mahu melakukan regangan, latihan pernafasan atau senaman untuk kesihatan, terdapat begitu banyak pilihan yang tidak memerlukan unsur keagamaan lain.
Lebih penting, masyarakat perlu belajar menegur dengan adab.Ā Kita boleh menyatakan sesuatu amalan itu bercanggah dengan panduan syarak tanpa terus melabel individu sebagai sesat, kafir atau murtad.
Hukum terhadap sesuatu perbuatan tidak semestinya bermaksud kita mengetahui hukum terhadap hati dan keimanan seseorang.
Rasulullah SAW sendiri mengajar pendekatan dakwah yang berhikmah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 125 agar manusia diseru ke jalan Tuhan dengan hikmah dan nasihat yang baik.
Maka, daripada sekadar mengecam video yang tular, lebih baik kita mendidik masyarakat supaya tahu apa yang perlu diperhatikan sebelum menyertai sesuatu program wellness.
Adakah terdapat mantra? Adakah peserta diminta melakukan ritual tertentu? Adakah wujud pemujaan? Adakah konsep chakra, tenaga ketuhanan atau penyatuan diri dengan Tuhan agama lain diajarkan?
Jika jawapannya ya, seorang Muslim wajar berundur dan mencari alternatif yang selamat.
Seseorang Muslim boleh memilih senaman regangan biasa, berjalan kaki, berenang, berbasikal, latihan kecergasan, Pilates yang bebas daripada unsur keagamaan atau program kesihatan dan kecergasan yang jelas kandungannya.
Untuk ketenangan jiwa pula, Islam sendiri menyediakan khazanah yang sangat luas melalui solat, zikir, doa, membaca al-Quran, tadabbur dan majlis ilmu.
Akhirnya, menjaga akidah bukan bermakna menolak kemodenan dan menghormati agama lain bukan bermakna mencampurkan ritual agama.
Kita boleh hidup harmoni dalam masyarakat majmuk, menghormati penganut agama lain dan pada masa yang sama mempunyai sempadan yang jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan sebagai seorang Muslim.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi media sosial dan industri kesejahteraan kendiri, cabaran kita bukan sekadar mengetahui apa yang sedang tular.
Cabaran sebenar ialah mempunyai ilmu untuk membezakan, iman untuk memilih dan adab untuk menegur.
Kesihatan tubuh memang perlu dijaga. Ketenangan jiwa juga perlu dicari. Tetapi bagi seorang Muslim, kedua-duanya mestilah berjalan seiring dengan satu prinsip yang tidak boleh dikompromi iaitu nilai Tauhid kepada Allah SWT.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








