PENDAPATRENCANA

Korban nyawa di jalan raya, apa tindakan kita yang seterusnya?

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

TRAGEDI kemalangan jalan raya yang melibatkan pengangkutan awam, terutamanya bas ekspres dan bas persiaran, semakin kerap menghiasi halaman utama media tempatan, sekali gus membangkitkan keresahan dan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Terbaharu, insiden menyayat hati melibatkan sebuah bas sewa khas yang membawa 42 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak telah meragut 15 nyawa.

15 penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik, Perak ditangisi rakyat Malaysia.

Bas yang disewa khas itu dilaporkan terbabas dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik, Perak.

Kejadian itu sekali lagi menggemparkan negara dan mengundang persoalan besar: sampai bilakah tragedi sebegini akan terus berlaku?

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih 500 kemalangan melibatkan bas direkodkan setiap tahun, dengan purata 20 hingga 30 kes membawa kepada kehilangan nyawa.

Pada tahun 2023 sahaja, terdapat lebih 7,000 kemalangan yang melibatkan kenderaan pengangkutan awam secara keseluruhan, dengan 76 kes membabitkan bas ekspres.

Angka itu tidak termasuk insiden yang tidak dilaporkan atau yang tidak melibatkan kecederaan serius tetapi tetap menjejaskan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Punca kemalangan melibatkan bas sering kali berulang dan berkisar kepada isu pemanduan cuai, keletihan pemandu akibat jadual kerja yang tidak menentu, kegagalan penyelenggaraan kenderaan secara berkala serta sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya.

bas upsi
Tangkap layar video berdurasi 39 saat menunjukkan detik-detik sebelum bas yang membawa penuntut UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak, awal pagi semalam.

Lebih malang, ada antara pemandu yang didapati positif dadah atau memandu melebihi had laju yang dibenarkan, walaupun membawa muatan penumpang yang ramai.

Dalam insiden di Tasik Banding, siasatan awal mendapati bahawa bas yang terlibat berada dalam keadaan terlalu laju, seperti yang dibuktikan melalui rakaman dashcam oleh pemandu kenderaan lain.

Kesan daripada kemalangan sedemikian bukan sekadar kehilangan nyawa, tetapi turut meninggalkan impak psikologi yang mendalam kepada mangsa yang terselamat, ahli keluarga serta masyarakat.

Trauma yang dialami bukan mudah untuk dipulihkan. Malah, dalam sesetengah kes, ia menjejaskan mata pencarian dan masa depan keluarga yang kehilangan ketua keluarga atau anak-anak kecil.

Dalam konteks ekonomi pula, setiap kemalangan melibatkan kos tinggi kepada kerajaan dalam bentuk rawatan perubatan, siasatan, pampasan dan kerja menyelamat.

Sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah status negara maju, Malaysia tidak boleh terus berada dalam keadaan reaktif atau ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

Kesan daripada kemalangan sedemikian bukan sekadar kehilangan nyawa, tetapi turut meninggalkan impak psikologi yang mendalam kepada mangsa yang terselamat, ahli keluarga serta masyarakat.

Tindakan konkrit dan proaktif perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh pelbagai pihak.

Kerajaan harus memperketatkan syarat kelulusan permit operasi bas, termasuk pelaksanaan pemeriksaan berkala yang lebih ketat dengan penglibatan bebas daripada agensi luar.

Syarikat pengendali bas pula wajib melaksanakan sistem pengesanan kelajuan dan lokasi (GPS) yang bukan sekadar dipasang, tetapi dipantau secara masa nyata oleh pusat operasi mereka.

Bagi pemandu bas, latihan keselamatan jalan raya tidak boleh lagi menjadi sekadar formaliti untuk kelulusan lesen.

Perlu diwujudkan skim penilaian berkala yang menilai kesihatan mental dan fizikal mereka, termasuk ujian kecergasan serta saringan dadah secara rawak yang lebih agresif.

Pemandu yang melanggar peraturan secara berulang patut digantung atau dibatalkan lesen memandu mereka.

Masyarakat pula tidak seharusnya berdiam diri. Laporkan pemanduan berbahaya dan salurkan aduan melalui sistem pengaduan agensi berkaitan agar tindakan segera dapat diambil.

Dari sudut Islam, nyawa adalah amanah besar yang tidak boleh dipandang enteng.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 32 yang bermaksud:

“Barang siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya.”

Ayat ini menunjukkan betapa besar dosanya menimbulkan kematian secara cuai atau sengaja.

Pemandu dan syarikat pengendali yang mengabaikan aspek keselamatan membawa risiko terhadap nyawa orang ramai, dan ini adalah satu bentuk kezaliman yang nyata.

Teknologi juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Penggunaan sistem pemanduan automatik, penderia kelajuan, kamera litar tertutup (CCTV), dan kawalan biometrik boleh dijadikan standard baharu industri pengangkutan.

Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil juga penting dalam mendidik orang awam tentang hak mereka sebagai pengguna pengangkutan awam, agar mereka tidak takut untuk bersuara terhadap kelalaian mana-mana pihak.

Sudah tiba masanya kita berhenti sekadar bersimpati setiap kali tragedi berlaku.

Keselamatan pengangkutan awam perlu diletakkan sebagai agenda nasional yang melibatkan kerjasama merentas kementerian daripada pengangkutan, kesihatan, pendidikan hinggalah kepada agama.

Ini kerana, soal nyawa dan amanah adalah tanggungjawab bersama.

Jika tiada tindakan yang menyeluruh dan berkesan, tidak mustahil kemalangan ngeri akan terus berulang, dan Malaysia akan terus dihantui dengan berita sedih tragedi sebegini.

Al-Fatihah buat kesemua mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

  • Penulis ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
    PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button