PENDAPATRENCANA

Dilema pekerja baharu: Realiti, cabaran dan perspektif Islam

Oleh PROF MADYA DR KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

DUNIA pekerjaan kini berubah dengan sangat pantas, terutama bagi yang baru sahaja melangkah ke alam kerjaya.

Persaingan global, kemajuan teknologi, tuntutan kemahiran baharu serta ketidaktentuan ekonomi bukan sahaja memberi kesan kepada landskap pekerjaan dunia bahkan juga di Malaysia.

Realiti ini menuntut graduan dan pekerja muda agar sentiasa bersiap siaga dan proaktif menyesuaikan diri demi kelangsungan dan kejayaan dalam kerjaya.

Graduan dan pekerja muda perlu sentiasa bersiap siaga dan proaktif menyesuaikan diri demi kelangsungan dan kejayaan dalam kerjaya.

Secara global, dunia kerja berdepan pelbagai cabaran mutakhir seperti kemunculan kecerdasan buatan (AI), automasi dan peralihan ke arah ekonomi digital.

Kajian Wiley Workplace Intelligence yang melibatkan 2,000 orang pada suku pertama tahun 2025 mendapati, 36 peratus organisasi mengakui cabaran utama adalah bagaimana tenaga kerja dapat menyesuaikan diri dengan keperluan baharu bisnes seperti teknologi digital dan model kerja fleksibel.

Selain itu, isu keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan, perubahan demografi serta kebimbangan terhadap keselamatan siber akibat penggunaan teknologi turut menambah tekanan.

Dalam konteks Malaysia, ekonomi negara masih bergerak maju dengan sektor digital, pembuatan dan pembinaan menjadi tonggak pertumbuhan.

Namun, terdapat cabaran jelas apabila Data Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022 menunjukkan seramai 5.92 juta graduan di Malaysia berhadapan dengan masalah seperti ketidakpadanan pekerjaan dan fenomena ‘gaji cukup makan’ yang semakin ketara.

Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia pada 2024 mendapati, hanya satu pertiga graduan tempatan berjaya memperoleh pekerjaan berskala tinggi, sementara dua pertiga lagi bekerja dalam bidang separa atau berkemahiran rendah.

Kira-kira 88.7 peratus graduan baharu ditempatkan dalam sektor berkemahiran sederhana dan rendah, khasnya perkhidmatan dan pembuatan.

Ini menyebabkan ramai masih bekerja di luar bidang seiring kelulusan akademik.

Faktor utama yang mengakibatkan cabaran ini termasuk keperluan industri untuk kemahiran praktikal serta kemahiran insaniah (soft skills) seperti komunikasi, adaptasi pantas dan kemahiran teknologi yang masih kurang dalam kalangan graduan.

Persaingan pekerjaan juga bertambah sukar akibat lambakan graduan, sedangkan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi belum dapat menampung pertambahan jumlah pencari kerja setiap tahun.

Selain isu struktur ekonomi, pekerja baharu juga berhadapan dengan cabaran menyesuaikan diri dari segi budaya organisasi, tekanan untuk segera mencapai prestasi serta cabaran membina hubungan kerja.

Di peringkat global, hasil kajian oleh organisasi Gallup pada awal 2025 mendapati lebih 60 peratus pekerja mengakui belum bersedia sepenuhnya dalam penggunaan teknologi baharu seperti AI akibat kurang latihan dan bimbingan berstruktur di tempat kerja.

Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi pula kekal sebagai isu utama, terutama untuk golongan wanita yang terpaksa menolak peluang kenaikan pangkat atau pertukaran lokasi bekerja yang lebih jauh demi komitmen terhadap keluarga.

Ini mendorong majikan agar memikirkan kaedah untuk menyediakan kerangka sokongan yang lebih mesra keluarga dan fleksibel bagi meningkatkan produktiviti serta kebajikan mental pekerja.

Golongan wanita biasanya memiliki cabaran lebih besar apabila perlu bertanggungjawab menguruskan keluarga selain kerjaya.

Bagi memastikan pekerja baharu lebih mudah menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan serba kompleks ini, beberapa strategi telah terbukti berkesan sama ada secara global mahu pun di Malaysia.

Antaranya, program orientasi dan bimbingan perlu diperkasa untuk mengenalkan budaya syarikat dan tatakelola kerja baharu.

Pelantikan mentor dalam kalangan pekerja berpengalaman juga membantu memberi sokongan moral, berkongsi ilmu dan mempercepatkan proses adaptasi.

Adalah penting para pekerja baharu aktif bertanya, memerhati budaya serta norma di tempat kerja, membina jaringan persahabatan dengan rakan sekerja serta membuka diri untuk menerima maklum balas, sama ada positif mahupun kritikal untuk penambahbaikan diri.

Kemahiran teknologi mesti dipelajari terutama dalam penggunaan aplikasi, sistem kerja digital dan alat automasi.

Persekitaran kerja yang berpaksikan kerjasama serta komunikasi terbuka akan memudahkan pekerja baharu menyesuaikan diri dan mencapai prestasi optimum.

Pada masa yang sama, pekerja baharu juga disaran agar lebih fleksibel, bersikap terbuka terhadap perubahan, menjaga integriti dan etika serta sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Dalam konteks Islam pula, pekerjaan bukan sahaja satu kewajipan sosial, malah dianggap sebagai salah satu bentuk ibadah dan amanah yang perlu dilakukan secara tekun, jujur, bersungguh-sungguh serta penuh integriti.

Islam sangat menekankan etika kerja yang baik seperti kejujuran, keikhlasan, adil, tanggungjawab dan saling hormat menghormati.

Allah SWT menyebut akan ciri-ciri pekerja terbaik seperti yang dinyatakan di dalam ayat 26, surah Al-Qasas yang bermaksud:

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: ‘Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah’.”

Islam menolak pengangguran dan budaya malas, sebaliknya mengangkat nilai kerja keras, disiplin dan sikap amanah dalam dunia kerjaya.

Tuntasnya, bagi terus relevan seiring dengan kepesatan perubahan dunia pekerjaan, graduan dan pekerja baharu perlu mengubah gaya berfikir, memperkukuh kemahiran dan kekal berpegang pada nilai etika dalam pekerjaan.

Pihak majikan pula dianjurkan untuk memperbanyak peluang latihan, program pembinaan nilai profesional serta menyediakan persekitaran kerja yang inklusif dan mesra pekerja muda.

Apa pun cabaran yang mendatang dengan semangat kental, sikap positif dan membudayakan etika kerja Islam yang murni, pekerja baharu akan mampu bertahan dan menyerlah dalam dunia pekerjaan yang serba dinamik.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button