AGAMA Islam menetapkan semua perkara dengan garis panduan dan hukum-hakam yang jelas sama ada berkait hubungan diri dengan Allah, saudara mara, masyarakat bahkan haiwan sekalipun.
Namun tidak dinafikan dalam kesibukan kita menjalani muamalah seharian yang semakin komplek, ramai memandang remeh kepentingan menjalani kehidupan bersandarkan hukum.
Antara yang jarang dibangkitkan adalah hukum menghadiri sesuatu majlis tanpa jemputan. Tidak kira sama ada ia melibatkan kenduri, majlis doa selamat, sambutan hari lahir atau jamuan makan antara jabatan kerajaan.

Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata, sikap segelintir masyarakat yang gemar menghadiri majlis tanpa jemputan semakin menjadi norma tanpa mengambil berat halal atau haram menjamah makanan yang sepatutnya bukan milik mereka.
Contoh paling biasa katanya adalah apabila seseorang ‘menumpang hadir’ sesuatu majlis tanpa memaklumkan tuan rumah walaupun telah ‘menunjukkan muka’ sebagai tanda hadir.
Situasi itu katanya sama sekali tidak menjadikan makanan yang telah dijamah bertukar menjadi ‘halal’ sedangkan perbuatan itu secara tidak langsung telah membebankan tanggungan tuan rumah.

“Ini kerana kebiasaannya dalam sesuatu persiapan kenduri atau majlis perkahwinan, hidangan akan disediakan mengikut bilangan jemputan yang telah diedar.
“Ada masanya, yang dijemput hanya seorang tetapi yang datang sampai satu keluarga.
“Sebab itu peribahasa Melayu ada menyebut ‘Datang tak diundang, pulang tak dihantar’ yang jelas menggambarkan sikap seumpama itu tidak berpatutan,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, dari perspektif akhlak pula, Islam menekankan kepentingan menjaga hati dan perasaan pihak lain.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Ini bermaksud kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita suka jika orang datang tanpa izin dan memakan makanan yang bukan disediakan untuk kita?
“Jika jawapannya ya, maka kita sendiri tidak boleh melakukan perkara sebegitu,” jelasnya.

Mengulas dari sudut budaya pula, beliau memberitahu, masyarakat Melayu amat menitikberatkan soal sopan santun, rasa hormat dan menjaga air muka.
“Walaupun mungkin ada yang beranggapan kenduri itu terbuka untuk orang ramai, namun adat tetap mempunyai batas,” ujarnya.
Dr Khairunneezam menegaskan, dari perspektif agama pula, larangan hadir tanpa jemputan jelas bagi mengelakkan unsur mengambil hak orang lain secara batil, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil…”
“Namun jika tuan rumah merelakan, maka ia dibolehkan kerana keredhaan mengangkat hukum larangan tersebut.
“Tuntasnya, isu ini mengajar kita supaya berhati-hati dalam menjaga hak orang lain, berakhlak mulia serta mengamalkan nilai budaya dan agama yang murni,” pesannya menutup bicara.
Kesimpulannya, majlis perkahwinan atau kenduri adalah medan silaturahim dan wadah berkongsi kegembiraan. Namun, ia perlu dihormati dengan mematuhi adab yang betul.
Hadirlah hanya jika dijemput dan jangan sesekali mengambil hak orang lain dengan menjamah makanan tanpa restu tuan rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








