AGAMARENCANA

Cold violence: Penderaan senyap yang menyakitkan jiwa, emosi

DALAM masyarakat moden hari ini, istilah keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan penderaan fizikal seperti dipukul, ditumbuk atau dihentak.

Namun kini, wujud satu lagi bentuk penderaan yang lebih halus tetapi meninggalkan luka yang dalam dikenali sebagai cold violence atau penderaan senyap.

Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, cold violence merujuk kepada perbuatan dingin dan menyakitkan secara emosi serta psikologi pasangan.

“Antara perbuatan tersebut seperti berdiam diri berpanjangan, menjauhkan diri tanpa sebab atau mengabaikan pasangan sehingga wujud jurang komunikasi dan kasih sayang yang amat ketara,” jelas beliau kepada Malaysia Tribune.

Tambah Dr. Khairunneezam, fenomena itu bukan sekadar teori tetapi telah banyak berlaku dalam kehidupan berumah tangga.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 1 daripada 3 wanita di dunia pernah mengalami keganasan rumah tangga, termasuk bentuk keganasan emosi.

DR. Khairunneezam menggalakkan pasangan untuk mendapatkan bantuan profesional sebagai langkah pencegahan dan pemulihan.

“Tambahan pula, kajian WHO pada 2021 menunjukkan 45 peratus mangsa keganasan emosi tidak pernah membuat laporan kerana tidak menyedari ia termasuk dalam kategori penderaan,” tegasnya.

Di Malaysia katanya, trend yang membimbangkan turut direkodkan.

“Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan bahawa lebih 40 peratus kes yang dilaporkan kepada Talian Kasih 15999 membabitkan penderaan emosi dan psikologi.

“Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mendapati 57 peratus wanita dan 35 peratus lelaki pernah melalui pengalaman ini.

“Dalam satu kes di Selangor, seorang isteri dipulau suami selama enam bulan tanpa sebarang komunikasi sehingga akhirnya membawa kepada kemurungan yang serius,” ujar Dr. Khairunneezam.

Keganasan emosi termasuk dalam kategori penderaan dalam kehidupan berumah tangga. – Gambar hiasan

Sementara itu, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan 2017) mengiktiraf penderaan emosi dan psikologi sebagai bentuk penderaan sah di sisi undang-undang.

“Ini bermakna, walaupun tiada sentuhan fizikal, mangsa masih berhak memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) daripada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, dari sudut agama, Dr. Khairunneezam menegaskan isu ini lebih mendalam.

Beliau membawakan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud:

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik (ma’ruf).”

Rasulullah SAW pula bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Menurut Dr. Khairunneezam, Islam sangat menekankan prinsip rahmah (kasih sayang), ta’awun (tolong-menolong) dan hiwar (komunikasi beradab) dalam rumah tangga.

“Penderaan senyap ini bertentangan dengan ajaran Islam. Ia bukan hanya melemahkan emosi pasangan, malah meruntuhkan asas institusi perkahwinan yang dibina atas kepercayaan, perhatian dan kasih sayang,” tambah beliau.

Dalam usaha menyelamatkan perkahwinan sebegini, beliau menggalakkan pasangan untuk mendapatkan bantuan profesional sebagai langkah pencegahan dan pemulihan.

“Antaranya ialah mempraktikkan komunikasi berhemah, bukan berdiam diri ketika ada isu; bermusyawarah dalam menyelesaikan konflik, bukannya menjauh dan mendapatkan bantuan kaunselor Islam atau ahli keluarga yang adil sebagai orang tengah.

“Rasulullah SAW telah memberi contoh terbaik sebagai suami iaitu Baginda menunjukkan sikap penuh empati, mendengar perasaan isteri dan tidak pernah meninggalkan pasangan dalam kebisuan emosi,” tegas beliau.

Kehidupan berumah tangga bagi pasangan suami isteri perlu sentiasa ada persefahaman dalam membina keluarga yang dipenuhi kebahagiaan dan kasih sayang.

Justeru, cold violence bukan sekadar isu remeh atau ‘hal rumah tangga’ yang patut didiamkan.

“Ia adalah bentuk penderaan sebenar walau tanpa luka fizikal, namun memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan kestabilan keluarga.

“Kita perlu ada kesedaran masyarakat, sistem sokongan yang efisien dan pendekatan Islamik yang berasaskan rahmat untuk menangani isu ini. Jangan biarkan rumah tangga runtuh secara senyap,” pesan Dr. Khairunneezam menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button