PENDAPATRENCANA

Jeritan dalam diam: Realiti buli di sekolah asrama

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & PROF MADYA DR. NURULIZA ROSLAN

KES buli pelajar di sekolah berasrama masih menjadi isu yang meresahkan dan serius di Malaysia, walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berwajib.

Kejadian buli yang berlaku bukan sahaja menjejaskan emosi dan fizikal mangsa, tetapi juga memberi gambaran negatif terhadap sistem pendidikan dan nilai moral masyarakat kita.

Isu ini bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak beberapa dekad yang lalu dan terus menghantui institusi pendidikan, khususnya sekolah berasrama penuh dan sekolah harian yang menyediakan kemudahan asrama.

Antara kes yang pernah menggemparkan negara termasuklah insiden pada tahun 2017 membabitkan pelajar institusi tahfiz, Allahyarham Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat dipukul oleh pembantu warden.

Kejadian kes buli pelajar di sekolah perlu dibanteras sebaik mungkin bagi mengelakkan insiden yang boleh mendatangkan kecederaan atau hingga meragut nyawa mangsa. – Gambar hiasan

Kes tersebut menimbulkan kemarahan masyarakat kerana melibatkan individu dewasa yang sepatutnya melindungi pelajar.

Selain itu, pada tahun 2021, satu video tular memperlihatkan beberapa pelajar di sebuah sekolah berasrama menumbuk dan menendang rakan sebaya secara berkumpulan.

Kes terbaru, terdapat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang.

Rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Pelajar lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan ia adalah suatu gurauan atau perbuatan buli.

Tindakan pantas telah diambil dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, para pelajar terbabit telah digantung persekolahan demi memastikan proses siasatan tidak terganggu, selain memberikan mesej jelas bahawa pihak MARA tidak berkompromi dalam isu buli seperti itu.

Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan bahawa terdapat lebih 2,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah-sekolah di Malaysia.

Selaku Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kes buli dan tidak berkromponi dengan mereka.

Namun begitu, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa yang memilih untuk berdiam diri atas faktor takut, malu atau tidak mahu memburukkan nama sekolah.

Menurut kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), lebih 70 peratus pelajar yang pernah menjadi mangsa buli mengalami tekanan emosi, kurang keyakinan diri dan prestasi akademik yang merosot.

Dalam menangani isu ini, pendekatan yang menyeluruh perlu diambil. Dari perspektif sosial, masyarakat perlu memupuk nilai empati dan ihsan sejak awal usia.

Aktiviti kemasyarakatan dan program pembentukan sahsiah seperti kem motivasi, ceramah agama dan latihan kepimpinan perlu dijadikan amalan berkala, khususnya di sekolah-sekolah berasrama yang menempatkan pelajar dalam komuniti tertutup.

Sekolah juga perlu mewujudkan saluran aduan yang selamat dan mesra pelajar untuk membolehkan kes buli dilaporkan tanpa rasa takut.

Dari sudut kekeluargaan, ibu bapa harus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendidik anak-anak tentang batas pergaulan dan nilai menghormati orang lain.

Perbualan berkala antara ibu bapa dan anak-anak mengenai kehidupan di asrama dapat membantu mengesan awal sebarang tanda gangguan emosi atau fizikal.

Keluarga juga perlu menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak berkongsi cerita, bukan tempat yang menghukum apabila masalah dibangkitkan.

Pihak kerajaan pula boleh memperkasakan undang-undang sedia ada agar tindakan tegas boleh diambil terhadap pembuli, tanpa mengira umur atau status pelajar.

Hukuman yang setimpal perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada pelaku dan amaran kepada yang lain.

Selain itu, kerajaan juga boleh menggubal garis panduan yang lebih jelas untuk sekolah menangani isu buli, termasuk menyediakan kaunselor tetap dan pegawai perlindungan pelajar di sekolah berasrama.

Perbuatan buli sama ada di sekolah, universiti atau tempat kerja sekali pun perlu dihentikan bagi menjamin persekitaran yang sihat dan harmoni.

Dari perspektif Islam, perbuatan membuli jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan kasih sayang dan keadilan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mencemuh kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka.”

Ayat ini jelas melarang penghinaan, ejekan dan perbuatan mencemuh orang lain, yang merupakan antara bentuk buli.

Nabi Muhammad SAW juga bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil ini menegaskan kewajipan setiap Muslim untuk melindungi saudara mereka daripada kezaliman termasuk daripada menjadi mangsa buli.

Kesimpulannya, gejala buli di sekolah berasrama tidak boleh dipandang ringan.

Ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah pengurusan sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan penguatkuasa undang-undang untuk membanterasnya.

Buli bukan sekadar isu disiplin, tetapi soal keselamatan, akhlak dan masa depan anak-anak kita.

Hanya dengan usaha yang bersepadu dan berpandukan nilai-nilai murni, barulah kita mampu melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
PROF MADYA DR. NURULIZA ROSLAN

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button