BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Enam pelajar ditahan bantu siasatan kes buli, peras ugut hingga mangsa berhenti sekolah

JOHOR BAHRU – Polis menahan enam pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kes buli dan pemerasan terhadap seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah berasrama di Muar sehingga mangsa dilaporkan mengalami trauma dan mengambil keputusan berhenti sekolah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dalam serbuan berasingan di sekitar Muar dan Alor Gajah, Melaka antara pukul 1.30 hingga 2.12 pagi hari ini.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada pukul 5 petang semalam.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa mendakwa dipukul di bahagian dada serta dipaksa menyerahkan wang kepada suspek yang merupakan pelajar senior di sekolah tersebut.

“Mangsa mengadu lebam di bahagian mata kerana dihantuk kepala. Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma sehingga menyebabkan mangsa mengambil keputusan berhenti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar Mei lalu selepas mangsa dikatakan menghisap vape yang diperoleh daripada seorang pelajar lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 507B dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Siasatan pengabaian turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap warden asrama dan pihak sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala permohonan reman terhadap mereka diluluskan selama dua hari sehingga esok.

“Pelajar lain yang menjadi mangsa buli oleh suspek terbabit diminta tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan kes tersebut.

“Polis memandang serius kejadian buli yang berlaku di sekolah dan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil dari semua sudut,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat menerusi talian hotline 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di 07-2212999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button