PENDAPATRENCANA

Kunci berkat dalam reda seorang ibu

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

SEORANG wanita bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dikasihi. Masakan tidak, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya.

Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia.

Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya.

Ibu adalah insan yang perlu dihormati dan dilayan dengan sebaiknya oleh anak-anak. – Foto JAKIM

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa.

Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan sebagaimana Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu.

Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya.

Kisah dongeng rakyat, Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya.

Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita.

Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘ah’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka.

Kita harus ingat keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita.

Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: “Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian.”

Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.” (Riwayat Ibnu Majah)

Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu hebat di luar sana, semoga setiap pengorbanan kalian dikurniakan sebaik-baik ganjaran oleh Tuhan.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu.

Pada tahun ini, ia disambut pada tanggal 11 Mei 2025.

Hari istimewa ini diraikan dengan pelbagai cara. Misalnya, ada yang mengadakan makan malam seisi keluarga, memberi bunga, hadiah atau sekadar ucapan kasih sayang.

Namun, kasih sayang kepada ibu tidak boleh disempitkan kepada satu hari dalam setahun. Ia sepatutnya dizahirkan sepanjang hayat.

Dalam konteks semasa, cabaran kehidupan moden menyebabkan ramai anak-anak tinggal berjauhan.

Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan warga emas yang tinggal sendirian atau hanya bersama pasangan tanpa anak-anak.

Hal ini menuntut perhatian semua pihak bahawa ibu bapa bukan sekadar perlu dibantu secara material, tetapi juga diberi perhatian dalam emosional.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan semakin ramai warga emas duduk bersendirian bersama pasangan tanpa jagaan daripada anak-anak.

Sebagai anak-anak, ibu perlu diberikan perhatian dan ketaatan. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Selain itu, kita juga perlu memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka melalui media sosial seperti WhatsApp dan sebagainya.

Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia ‘emas’nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya.

Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat ibu menghembuskan nafas terakhir di dunia ini.

Apabila ibu telah meninggal dunia, anak-anak perlu terus mendoakan kesejahteraan roh mereka kerana tanggungjawab itu tidak terhenti sebaik si ibu menghembuskan nafas terakhir.

Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak-anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap-rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang:

‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’.

Jelaslah bait-bait puisi itu mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama ibu.

Sememangnya syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu.

Selamat Hari Ibu buat semua wanita yang bergelar ibu di Malaysia dan seluruh dunia.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button