BERITA SEMASA

PETRONAS perjelas hak penamaan, bukan pemilik atau penganjur Litar Antarabangsa Sepang

KUALA LUMPUR – PETRONAS menjelaskan bahawa syarikat itu hanya memegang hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang (Sepang International Circuit) dan bukan pemilik atau penganjur acara perlumbaan yang berlangsung di litar berkenaan.

Dalam satu kenyataan, PETRONAS berkata, penjelasan itu dibuat susulan keterujaan orang ramai terhadap penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Menurut syarikat itu, Litar Antarabangsa Sepang dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), manakala operasinya dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

PETRONAS turut menegaskan bahawa sebagai bukan penganjur acara, syarikat itu tidak mengurus, mengawal atau mempunyai akses kepada pengagihan, penjualan mahupun peruntukan tiket.

“Segala urusan penjualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh pihak penganjur acara melalui saluran rasmi yang diberi kuasa,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi yang ditetapkan oleh penganjur bagi mengelakkan kekeliruan atau sebarang penipuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button