NONGSHIM suntik kelainan Big Stage Rocketfuel musim ketujuh
KUALA LUMPUR – NONGSHIM memperkukuh strategi penjenamaan di Malaysia menerusi penajaan sulung Big Stage Rocketfuel musim ketujuh, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk jenama ramyun nombor satu Korea itu mendekati pengguna tempatan.
Bersempena ulang tahun ke-40, penajaan berkenaan dilihat sebagai langkah memperkukuh lagi kedudukan NONGSHIM dalam pasaran Malaysia, selain mencerminkan perubahan trend penglibatan syarikat korporat menerusi platform televisyen.
Bagi GBA Corporation Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar eksklusif NONGSHIM di negara ini, pihaknya menyedari keperluan untuk mencipta inovasi penjenamaan bagi memenuhi kehendak pengguna yang semakin berubah.
Pengurus Komersialnya, Foo Siew Kheng berkata, jenama produk kini mula beralih kepada penajaan program televisyen sebagai strategi pemasaran utama bagi meningkatkan keterlihatan jenama, membina kepercayaan pengguna serta memanfaatkan integrasi pemasaran digital.
Menurut beliau, sesebuah jenama kini menyasarkan program yang bersesuaian dengan demografi sasaran bagi mendapatkan pulangan pelaburan lebih berkesan dan tidak lagi bergantung kepada iklan komersial semata-mata.
“Menerusi Big Stage Rocketfuel, NONGSHIM kini mahu mempamerkan nilai murni dan membina reputasi jenama produk yang positif di mata masyarakat sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama makanan Korea paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.
“Perkembangan ini sekali gus mencerminkan kekuatan jenama NONGSHIM dalam mendekati masyarakat menerusi program televisyen yang bukan sahaja tampil lebih dekat dengan golongan keluarga, malah menawarkan pengalaman menikmati makanan Korea yang autentik, berkualiti premium dan mudah disediakan,” katanya.

Sebagai rekod, GBA Corporation Sdn. Bhd. adalah antara syarikat pengedaran dan pemasaran barangan pengguna bergerak cepat (FMCG) terkemuka di Malaysia.
Ditubuhkan pada 1987, syarikat itu bertanggungjawab memasarkan pelbagai jenama makanan dan minuman antarabangsa terkenal ke pasaran tempatan.
Mengulas lanjut, Siew Kheng berkata, Big Stage Rocketfuel menjadi pilihan NONGSHIM kerana kembali dengan musim baharu yang lebih berani menerusi barisan bintang baharu serta persembahan penuh impak, selain cabaran sengit setiap minggu.
Katanya, selari dengan kekuatan jenama ikonik nombor satu Korea, SHIN Ramyun, program popular itu turut mencari peserta yang paling menyerlah, asli dan konsisten untuk kekal di puncak.
“Seperti SHIN Ramyun yang kekal menjadi pilihan utama peminat makanan Korea selama empat dekad, kami mahu melihat bakat yang bukan sekadar hangat seketika, tetapi mampu bertahan, kekal asli dan terus relevan dalam industri.
“Semangat inilah yang menghubungkan NONGSHIM dengan Big Stage Rocketfuel, kedua-duanya meraikan kualiti, ketulenan dan keberanian untuk terus berada di puncak,” katanya.
Baca juga : SHIN Ramyun raih jualan global RM55 trilion, lancar perisa baharu ‘Swicy’ di Malaysia
Bermula 28 Jun lalu setiap Ahad malam, pentas Big Stage Rocketfuel membuka peluang untuk mencari bintang solo atau duo paling menyerlah yang bukan sahaja berbakat, tetapi memiliki identiti dan daya tahan untuk mendominasi industri muzik.
Barisan peserta musim ini menampilkan Qilo, Yad-Z, Ranisha, Adam & Nazmie, Danial Kifli, Sufie Rose, Aliff Kimiey, Danny dan Hussain yang bersedia memberikan persembahan terbaik demi merebut gelaran juara selepas Rieffa dan Sabrina tersingkir.
Big Stage Rocketfuel diacarakan oleh Nabil Ahmad bersama Azeva yang sebelum ini merupakan finalis program Talk To My Manager S2.
Barisan juri tetap setiap minggu pula terdiri daripada Akim Ahmad, Aisha Retno dan Hael Husaini yang memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan peserta melalui sistem penilaian 100 peratus berdasarkan keputusan juri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

