BISNES & EKONOMI

SHIN Ramyun raih jualan global RM55 trilion, lancar perisa baharu ‘Swicy’ di Malaysia

KUALA LUMPUR – Jenama mi segera Korea Selatan, SHIN Ramyun, mencatat sejarah apabila menjadi jenama mi segera Korea pertama melepasi jualan terkumpul sebanyak RM55 trilion di seluruh dunia, bersempena ulang tahun ke-40 pengenalannya.

Sempena pencapaian itu, NONGSHIM turut memperkenalkan produk terbaharu, SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi, yang menampilkan gabungan rasa ‘Swicy’ (manis dan pedas) bagi memenuhi citarasa pengguna moden termasuk di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden NONGSHIM, Antonio Jo berkata, sejak diperkenalkan pada 1986, SHIN Ramyun telah menjual kira-kira 42.5 bilion pek di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara ikon makanan Korea di peringkat global.

“SHIN Ramyun telah membawa cita rasa berani Korea kepada pengguna di seluruh dunia selama 40 tahun dan produk baharu ini mencerminkan bagaimana kami terus berkembang mengikut trend makanan moden tanpa mengabaikan identiti rasa pedas yang menjadi keunikan jenama ini.

“Sempena ulang tahun ke-40 ini, kami kekal komited berkongsi cita rasa autentik Korea serta terus memperkenalkan inovasi kulinari kepada pengguna di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

ramyun
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden NONGSHIM, Antonio Jo menyampaikan ucapan pada Exclusive Preview of Impian Di Seoul sempena MIFFest ke-9 2026 serta pelancaran NONGSHIM SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi.

Menurut NONGSHIM, pelancaran SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi turut mengambil inspirasi daripada hidangan kimchi goreng tradisional Korea dengan menawarkan gabungan rasa pedas, manis dan umami yang seimbang.

Produk itu menampilkan mi kenyal bersama sos pekat berperisa kimchi, selain mengandungi kepingan kimchi dan sawi putih bagi memberikan pengalaman menikmati mi ala Korea yang lebih autentik.

NONGSHIM berkata, produk berkenaan juga memperoleh pensijilan halal dan dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Katanya, langkah itu selari dengan peningkatan minat pengguna tempatan terhadap makanan Korea yang semakin popular, terutama menerusi media sosial.

Menurut syarikat itu, SHIN Ramyun Stir Fry Kimchi kini boleh didapati di pasar raya utama di seluruh negara serta menerusi kedai rasmi NONGSHIM di TikTok Shop.

Sebagai rekod, NONGSHIM yang ditubuhkan pada 1965 kini merupakan pengeluar mi segera dan makanan ringan terkemuka dunia dengan produknya dipasarkan di lebih 100 negara termasuk Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button