BERITA SEMASA

Semburan arak di F1 Singapura: CEO PETRONAS mohon maaf

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik yang terlibat dalam “Champagne Shower” (semburan arak) ketika di atas podium Formula 1 Singapore Grand Prix 2025 pada Ahad lalu tampil memohon maaf.

Beliau berkata, kekhilafan itu berlaku akibat keterujaan spontan semasa meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One.

“Kemenangan baru-baru ini di Grand Prix Singapura merupakan satu pencapaian yang telah lama dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin dengan Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, pada musim ini.

“Saya berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.

“Meskipun begitu, saya menyedari bahawa keterujaan spontan saya semasa meraikan kemenangan pasukan mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan tidak mengambil sebarang minuman keras.

“Namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.

“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas
segala tindakan saya,” katanya.

Pada kesempatan itu juga, beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada pasukan MAMG PETRONAS F1 yang bersaing di tahap tertinggi sukan permotoran.

Katanya, berkat usaha gigih PETRONAS, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button