BERITA SEMASA

QS World University Rankings: UM kekal universiti terbaik negara

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) terus membuktikan reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul negara apabila sekali lagi menguasai tangga teratas Malaysia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2026.

UM memaklumkan, universiti itu mengekalkan status sebagai universiti paling mampan di negara ini untuk tahun ketiga berturut-turut, di samping berada pada kedudukan ke-166 dunia daripada 2,001 institusi.

“Pencapaian ini meletakkan UM dalam kelompok sembilan peratus teratas universiti paling mampan di peringkat global serta di tempat ke-16 di Asia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, UM meraih skor keseluruhan mengagumkan sebanyak 85.4 daripada 100, sekali gus menggambarkan komitmen tinggi universiti berkenaan dalam menyematkan kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti.

UM turut menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kategori Kesan Sosial apabila menduduki tempat ke-10 di Asia dan ke-163 dunia, dipacu prestasi kukuh dalam subkategori Pertukaran Pengetahuan (ke-71, skor 97.4) serta Kebolehgajian dan Peluang (ke-99, skor 96.5).

Bagi kategori Kesan Alam Sekitar, UM berada di tempat ke-177 global dan ke-35 Asia, selain mengekalkan kedudukan terbaik dalam negara dalam aspek Tadbir Urus apabila berada di kedudukan ke-397 dunia.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pencapaian berterusan itu mencerminkan komitmen teguh universiti terhadap agenda kelestarian dan tanggungjawab kolektif dalam membentuk hala tuju baharu demi kemakmuran global termasuk generasi akan datang.

“Kami akan terus memajukan agenda SDG serta ESG melalui kecemerlangan penyelidikan, pendidikan inklusif dan tadbir urus bertanggungjawab, memastikan UM bukan sahaja cemerlang di peringkat global tetapi turut memacu impak bermakna kepada kemanusiaan dan alam sekitar,” katanya.

Tambah kenyataan itu, peningkatan konsisten UM dalam QS Sustainability Rankings mengukuhkan peranannya sebagai perintis nasional dan serantau dalam memperjuangkan perubahan transformatif serta menyumbang kepada aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button