Ahmad Zahid yakin BN pertahan kerusi Ayer Kuning
BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kerjasama yang baik antara jentera BN dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 14 hari kempen.
Presiden UMNO itu berkata, kerjasama yang mantap sepanjang kempen itu akan mengulangi kejayaan dalam pilihan raya kecil sebelum ini seperti di Nenggiri, Kelantan dan Mahkota di Johor, yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Insya-Allah, kita akan berjaya mempertahankan kerusi Ayer Kuning, dan saya berdoa agar Ustaz (Dr Mohamad Yusri Bakir) berjaya… semoga Allah memberkati dan memperkenankannya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Karnival Risda Madani (Karisma) Zon Utara 2025 di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, kemenangan dalam pilihan raya itu juga bergantung kepada jumlah yang keluar mengundi, mengambil kira ramai pengundi Melayu baharu sahaja pulang ke kampung sempena Hari Raya dan sebahagian pengundi Cina pula baru kembali untuk sambutan Festival Qingming.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, menyeru orang ramai supaya keluar mengundi untuk mendapatkan peratusan mengundi yang tinggi.
“Saya berharap cuaca kekal baik sehingga ke petang, supaya jentera dapat menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka,” tambahnya.
Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 63 saluran dibuka pada pukul 9 pagi ini dengan seramai 31,281 pengundi layak untuk membuang undi.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari 2025.
PRK ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








