BERITA SEMASAPOLITIK

Kesilapan grafik: Malaysiakini mohon maaf, akan jumpa pemimpin UMNO esok

KUALA LUMPUR – Malaysiakini memohon maaf atas beberapa kesilapan grafik yang disiarkan di media sosial semalam, termasuk penggunaan tajuk laporan mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada imej yang sebenarnya merujuk kepada laporan isu ladang babi.

Menurut portal berita itu, tiga grafik telah tersiar secara silap apabila kandungan teks pada grafik berkenaan tidak sepadan dengan gambar serta keterangan yang digunakan, sedangkan ia dimaksudkan untuk laporan berlainan.

Dua daripada grafik tersebut menggunakan secara salah tajuk artikel Bahasa Melayu mengenai PAU yang akan menjadi platform untuk UMNO menentukan hala tuju parti.

Salah satu hantaran media sosial menggunakan tajuk berkaitan UMNO itu telah dipaparkan pada grafik bergambar babi di sebuah ladang.

“Grafik tersebut sebenarnya dimaksudkan untuk laporan mengenai isu penternakan babi di Selangor, selaras dengan keterangan berhubung penternakan babi di Tanjung Sepat yang disertakan.

“Grafik kedua yang turut menggunakan secara salah tajuk mengenai UMNO adalah bagi artikel perkongsian pengalaman pegawai Kor Perkhidmatan Islam Angkatan Tentera (KAGAT) mengenai ‘party yeye’,” katanya.

Sementara itu, grafik ketiga yang tidak tepat menggunakan tajuk mengenai PAS yang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung imej penasihat DAP, Lim Guan Eng.

“Grafik tersebut sebenarnya dimaksudkan untuk artikel mengenai gesaan Lim supaya Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said campur tangan dalam kes pertuduhan rogol yang diringankan,” jelas Malaysiakini.

Malaysiakini turut memaklumkan semua hantaran berkenaan telah diturunkan.

Malaysiakini dalam kenyataannya memohon maaf atas kesilapan tersebut dan memaklumkan semakan dalaman telah dimulakan bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

“Ini merupakan kesilapan yang amat dikesali, dan di Malaysiakini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengakui dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya perkara ini,” kata Editor Eksekutif Malaysiakini, RK Anand.

Beliau berkata, editor Malaysiakini akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Jumaat ini untuk bertemu pemimpin parti dan memohon maaf secara bersemuka atas kesilapan berkenaan.

Menurutnya, Malaysiakini juga telah menghubungi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh semalam bagi memohon maaf serta menyatakan hasrat untuk bertemu pemimpin parti itu.

Tindakan tersebut katanya, dibuat sebelum Dr Akmal menyiarkan video di media sosial yang menuntut Malaysiakini membuat permohonan maaf secara rasmi di PAU.

Selain itu, Malaysiakini turut menghubungi pejabat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi bagi menyampaikan permohonan maaf.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button