POLITIK

UMNO pelawa pemimpin, ahli BERSATU dipecat sertai ‘Rumah Bangsa’

KUALA LUMPUR – UMNO mempelawa pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipecat atau digantung parti untuk menyertai gagasan ‘Rumah Bangsa’ tanpa sebarang syarat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja termasuk pemimpin serta ahli BERSATU yang dikenakan tindakan disiplin baru-baru ini.

“Lagipun semuanya berasal daripada rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Semalam, Lembaga Disiplin BERSATU memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.

Dua ADUN yang dipecat ialah Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dan Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), merangkap Ketua BERSATU Bahagian Alor Setar.

Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Mengulas kritikan segelintir warganet yang mendakwa langkah itu memberi ruang kepada ‘orang luar’ dan mengabaikan pemimpin sedia ada, Asyraf Wajdi berkata UMNO perlu berjiwa besar dalam menerima semula bekas ahlinya.

“Sebagaimana saranan Presiden, kita kena menerima hakikat UMNO mesti berjiwa besar untuk mendakap kembali setiap insan yang pernah lahir, membesar dan menginap di Rumah Bangsa UMNO.

“Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Mudah-mudahan semuanya akan memperkuatkan lagi UMNO dan memperteguh Rumah Bangsa,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, setakat ini lebih 17,000 ahli baharu UMNO telah mendaftar secara dalam talian sejak platform berkenaan dilancarkan kira-kira dua minggu lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button