Nolee Ashilin dilantik pemangku Ketua Srikandi – Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebagai Pemangku Ketua Srikandi manakala Datuk Seri R Sanjivan sebagai Pemangku Ketua Sayap Bersekutu parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Muhyiddin berkata, pelantikan tersebut diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan dalam mesyuaratnya hari ini.
Beliau turut menegaskan tiada mana-mana bahagian BERSATU yang dibubarkan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu sejak kebelakangan ini.
Jelas beliau, mengikut perlembagaan parti, hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian.
“Tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, ada pihak mendakwa beberapa bahagian mengisytiharkan pembubaran.
“Sebenarnya mengikut perlembagaan parti, tidak ada pihak kecuali MPT BERSATU sahaja yang mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPT, hari ini.
Situasi yang berlaku ketika ini, jelas beliau, sebenarnya melibatkan pemberhentian atau peletakan jawatan oleh beberapa individu dalam kepimpinan bahagian.
Susulan perkembangan itu, parti akan menggunakan kuasa petugas khas untuk melakukan penyusunan semula kepimpinan di bahagian yang terlibat.
“Apabila berlaku pemberhentian atau peletakan jawatan, kita akan menyusun semula kepimpinan dengan mengisi jawatan yang kosong atau membentuk jawatankuasa penaja di bahagian berkenaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















