BERITA SEMASAPOLITIK

Akmal Saleh umum letak jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka minggu depan, susulan tekanan akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama DAP.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, Dr Akmal menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan tanggungjawab, prinsip dan maruah sebagai pemimpin.

“Saya telah membawa kerisauan rakyat di bawah yang tidak dapat menerima kehadiran DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

“Orang kita marah dengan DAP dan saya akur keputusan parti kekal dalam kerajaan sehingga penghujung penggal. Tetapi sebagai pemimpin akar umbi yang diangkat ke atas, saya perlu akur kepada kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu telah dibincangkan terlebih dahulu bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Pada peringkat awal, saya memang bercadang untuk melepaskan semua jawatan termasuk Ketua Pemuda UMNO.

“Bagaimanapun, selepas mendapat nasihat daripada Ahmad Zahid dan Ab Rauf, saya membuat keputusan untuk terus kekal dalam sayap Pemuda kerana tidak mahu lari daripada perjuangan,” ujarnya.

Dr. Akmal menegaskan, jawatan dalam kerajaan bukan perkara utama baginya, sebaliknya maruah, prinsip dan suara akar umbi adalah keutamaan.

“Kalau ada yang berkata saya lari daripada perjuangan, saya ingin tegaskan ia sama sekali tidak benar. Hari ini, saya masih bersama Pemuda UMNO,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button